‘Tak lengkap jangan layan’

Iklan
Irfan Bakti

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta meneliti setiap dokumen yang diserahkan pasukan terlibat dengan masalah tunggakan gaji pemain dan tidak memberikan tempoh lanjutan jika tidak memenuhi kriteria ditetapkan badan induk itu.

Menurut jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, pasukan berkenaan telah diberikan tempoh yang cukup untuk mengemukakan sebarang bukti sebagaimana yang dikehendaki FAM sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Antara syarat untuk memastikan sesebuah pasukan tidak ditolak mata bukan saja memastikan dokumen itu dihantar sebelum tarikh akhir tetapi juga memastikan dokumen itu menepati kriteria yang ditetapkan.

"Sebelum ini pun, banyak kali masalah sebegini berlaku. Ada pasukan yang hantar dokumen tak lengkap sebelum tarikh akhir dan minta tempoh tambahan masa untuk selesaikannya.

Iklan

"Bagi saya, jika pasukan tersebut tidak mampu memenuhi kriteria yang ditetapkan, maka mereka sebenarnya tidak ada komitmen untuk menyelesaikan hutang pemain dan pegawai yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, FAM memberikan amaran akhir kepada Melaka United, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kelantan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai sebelum tarikh akhir iaitu 31 Januari (kelmarin) bagi mengelakkan pemotongan mata selain berkemungkinan disingkirkan daripada Liga-M.

Iklan

Ketiga-tiga pasukan terbabit dilaporkan sudah menghantar dokumen berkaitan dan FAM akan meneliti dokumen tersebut.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti berkata, FAM perlu tegas memastikan hukuman pemotongan mata dikenakan demi keadilan kepada pasukan lain yang tidak mempunyai masalah tunggakan gaji.

"Namun, bagi saya hukuman pemotongan mata ini masih lagi ringan sebab mereka masih lagi boleh berbelanja dengan memborong pemain import biarpun ada tunggakan gaji dengan bekas pemain.

"Perkara sebegini sangat mendukacitakan kerana kita berada dalam kancah liga profesional. Seharusnya pengurusan pasukan bijak mengukur kemampuan dan tidak berbelanja boros selepas menyedari mempunyai tunggakan gaji pemain,” jelasnya.