PERJUANGAN skuad hoki negara dalam Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China masih belum berakhir kerana peluang buat semua pasukan yang bertanding masih terbuka.
Bekas pemain hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, belum masanya buat skuad Speedy Tigers menyerah kalah atau mengibar bendera putih, sebaliknya mereka perlu bangkit dengan lebih kuat pada baki tiga lagi perlawanan.
Biarpun nampak sukar, namun beliau percaya sebarang kemungkinan boleh berlaku dengan semangat juang tinggi para pemain yang dibimbing Sarjit Singh untuk mengintai slot separuh akhir dengan berada dalam kedudukan empat terbaik.
Malaysia memulakan langkah dengan keputusan 2-2 ketika menentang Pakistan dan kemudian tewas 2-4 kepada China untuk mengutip satu mata.
"Tidak bermula dengan baik dan bukan keputusan yang kita harapkan. Seri dan kalah sekali. Ini perkara yang biasa terjadi dalam mana-mana kejohanan.
"Kita mengharapkan kemenangan untuk perjalanan yang lebih mudah, namun terpaksa menempuh laluan berliku. Ia bukan penamat, perjuangan belum berakhir dan tiada yang mustahil.
"Bukan masa untuk kibar bendera putih lagi. Speedy Tigers perlu bangkit dengan lebih kuat. Baiki segala kelemahan dan fokus kepada perlawanan untuk mengintai kedudukan empat terbaik untuk mara ke separuh akhir," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Malaysia dalam misi wajib menang ke atas India yang akan ditentang pada Rabu, disusuli Jepun pada Khamis dan Korea Selatan pada Sabtu untuk berada dalam kelompok empat teratas sekali gus mara ke separuh akhir dalam saingan liga sepusingan itu.
Mirnawan menjelaskan, pasukan negara bukan tidak biasa menentang ketiga-tiga pasukan tersebut dan sudah mengetahui sebarang kelemahan serta kekuatan mereka.
Malah beliau percaya, Sarjit seorang yang berpengalaman maklum mengenai corak dan strategi sesuai untuk diterapkan dalam merencana permainan pasukan.
"Apa yang diperlukan ialah perbaiki kelemahan individu dan tingkatkan kekuatan pasukan. Para pemain senior bantu rakan sepasukan meningkatkan moral serta semangat mereka," katanya.