IPOH - Kerajaan Perak akan mengenakan caj sewaan bulanan bagi setiap menara telekomunikasi dibina di atas tanah kerajaan dan persendirian di negeri ini, bermula tahun ini.
Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, inisiatif itu merupakan syarat baharu bakal diwartakan kerajaan negeri bagi memberi pulangan setimpal di atas setiap pembinaan menara telekomunikasi oleh mana-mana syarikat telekomunikasi.
Menurutnya, hasil pendapatan ini adalah sepatutnya diperolehi kerajaan negeri untuk dipulangkan kembali kepada rakyat.
"Sebelum ini, kita tidak dapat mengutip hasil caj sewaan setiap pembinaan menara telekomunikasi, sama ada di atas tanah kerajaan atau tanah persendirian.
"Yang ada cuma dapat mengutip cukai perlesenan menara itu secara tahunan.
"Kita sudah ada perangkaan mengenakan kadar caj sewaan bulanan bersesuaian, namun belum didedahkan kepada umum," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Hasnul Zulkarnain berkata, bagi tujuan itu, pihaknya melalui K-Perak juga sudah melaksanakan proses pemutihan dan mengenal pasti status keseluruhan 2,180 menara telekomunikasi terdapat di Perak sama ada berlesen atau tidak berlesen.
Menurutnya, kerajaan negeri menjangkakan mampu mengutip sekurang-kurangnya RM3 juta pada tahun pertama bagi hasil kutipan caj sewaan setiap menara komunikasi di Perak.
Menurutnya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menetapkan sasaran kutipan RM10 hingga RM15 juta bagi kutipan hasil sama kepada pihaknya dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.
"Proses pemutihan menara telekomunikasi di Perak sudah selesai dilaksanakan pada 31 Disember tahun lalu.
"Jika ada mana-mana pemilik menara telekomunikasi selepas ini masih berdegil, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hasnul Zulkarnain turut memaklumkan satu kajian dibuat oleh tujuh kontraktor terlibat pembinaan menara telekomunikasi di negara ini untuk mengenal pasti kawasan hotspot mana perlu diberi tumpuan bagi kemudahan liputan 4G.
Menurutnya, kesemua kontraktor terbabit ada membuat ujian pancaran telekomunikasi di dalam negeri Perak dan pihaknya akan diberikan taklimat terkini mengenai jumlah sebenar kawasan di Perak yang benar-benar perlu menerima kemudaha liputan 4G dengan segera.
"Berkenaan perkhidmatan Unifi, hasil kajian Telekom Malaysia (TM) tahun lalu, saya dimaklumkan memang ada keperluan tinggi untuk ianya diwujudkan di Parlimen Parit Buntar, terutama kawasan pekan.
"Cuma kita sedang menunggu kelulusan di peringkat pengurusan tertinggi TM kerana penyediaan kemudahan itu memerlukan kos perbelanjaan tinggi dan saya amat berharap ianya dapat direalisasikan segera," katanya.