Tiga sepupu dinobat pendeklamasi sajak terbaik

Iklan
Dari kiri: Nur Aleesya Amani, Muhammad Danish Haziq dan Qhasif Khadeeja ketika dinobatkan sebagai juara sempena Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Landak, Besut, baru-baru ini.

BESUT - Tiga sepupu yang berkongsi minat mendeklamasikan sajak dinobatkan sebagai pendeklamasi sajak terbaik sekali gus menyandang gelaran johan sempena Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Landak, di sini, baru-baru ini.

Kejayaan disandang oleh ketiga-tiga pelajar tersebut melayakkan mereka untuk sama-sama mara ke pertandingan peringkat kebangsaan sempena Karnival Bahasa Melayu Peringkat kebangsaan 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Oktober depan.

Iklan
Iklan

Johan deklamasi sajak bagi kategori sekolah rendah disandang oleh Qhasif Khadeeja Muhammad Zamani,12, dari SK Rantau Petronas, Kemaman dengan sajak bertajuk Warisan Keberanian karya S.M. Noor.

Sementara itu, johan bagi kategori menengah rendah disandang oleh Nur Aleesya Amani Muhammad Zul 14 tahun dari SMK Bukit Sawa, Marang dengan sajak berjudul Sumpah Anak Bangsa manakala johan kategori Tingkatan Enam pula dimenangi Muhammad Danish Haziq Zulkifli, 17, dari sekolah sama dengan sajak Bunga Popi karya (Allahyarham) Datuk Dr Usmang Awang.

Roslina (tiga dari kiri) bersama Murni Kartika (dua dari kiri) merakam gambar bersama juara sempena Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Landak, Besut.

Iklan

Tiga sepupu itu dilatih oleh ibu saudara mereka yang juga adik-beradik iaitu Roslina Mat Khalid, 43 dan Murni Kartika Mat Khalid, 39.

Menurut Roslina, persediaan rapi penting bagi memastikan anak saudara yang dilatih bersedia untuk mendeklamasikan sajak di pentas yang lebih besar dengan penuh yakin.

Iklan

"Kita mengambil masa agak lama untuk melatih kerana perlu menitikberatkan aspek artikulasi, penghayatan dan beberapa aspek lain untuk bergelar johan," katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.

Beliau yang pernah menyandang johan deklamasi sajak peringkat kebangsaan berazam untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan persembahan ketiga-tiga pelajar itu berjaya memikat hati juri.

"Saya rasa bangga kerana ketiga-tiga anak buah saya dapat membawa nama Terengganu sekali gus mengharumkan nama Terengganu dipentas kebangsaan yang akan berlangsung di Negeri Sembilan pada awal Oktober depan," katanya.

Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung pada 4 September lalu turut melibatkan acara bercerita sekolah rendah, deklamasi sajak dan dendangan syair bagi sekolah menengah.