[VIDEO] Kenyataan Teresa perlu lebih bertanggungjawab, jujur - Takiyuddin

Iklan

SHAH ALAM - Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal perlu lebih bertanggungjawab, jujur dan memastikan pendapatnya tidak tersasar sehingga menimbulkan polemik serta ketegangan dalam masyarakat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan pemimpin DAP itu didakwa dipengaruhi oleh emosi dan sentimen untuk tujuan-tujuan politik kepartian serta peribadinya sendiri.

Iklan
Iklan

"Walaupun Pas bersetuju bahawa orang Islam harus lebih prihatin dalam pilihan mereka, namun kerajaan juga ada peranannya dalam memastikan keadaan itu lebih terkawal.

"Selain itu, kami percaya pemilik restoran dan kedai makan bertanggungjawab menyediakan maklumat jujur dan lengkap mengenai produk serta perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan mereka, terutama sekali dalam isu halal-haram,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan
Takiyuddin Hassan

Sebelum ini, Teresa yang juga Naib Presiden DAP dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Menurut beliau, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil selain menambahkan kos pentadbiran.

Iklan

Ujar Takiyuddin, Teresa sebagai ahli politik veteran harus sedar bahawa kenyataan tersebut memberi gambaran salah terhadap Islam dan pentadbiran agama berkenaan di negara ini.

Ulasnya, menerusi tindakan berkenaan, beliau turut memberi gambaran seolah-olah pengamalan Islam merupakan ancaman kepada mereka yang tidak menganut agama tersebut.

"Ini sudah tentulah suatu gambaran yang tidak bertanggungjawab, tersasar dan kelihatan bertujuan memecah-belah.

"Jika diteliti, jelas bahawa cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu hanya berkait dengan orang Islam, iaitu hak mereka untuk menikmati makanan yang disahkan halal dan juga hak untuk tidak diberi gambaran salah mengenainya,” ujarnya.