UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) berjaya menuai lapan pingat emas dari 10 acara di lapangan olahraga Sukan Universiti Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 pada petang Selasa.
Kejayaan tersebut berada pada landasan tepat bagi mencapai sasaran 15 pingat emas yang diletakkan oleh pihak pengurusan universiti setakat ini.
Pengurus pasukan olahraga UPM, Shahrulnizar Nurhalim berkata, kejayaan dua pelari pecut universiti itu iaitu Aliff Iman Mohd Fahmi dan Azreen Nabila Alias meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki dan wanita berjaya menepati ramalan.
Menurutnya, kejayaan dua pelari pecut itu juga diserikan lagi dengan enam kejayaan lagi dalam enam acara olahraga bagi kutipan pingat emas.
"Sebelum ini berdasarkan ranking SUKIPT UUM 2024, kita berada di bawah jadi dengan acara olahraga ini diharapkan dapat memperbaiking kedudukan ranking UPM.
"Acara bagi olahraga ini menyediakan sebanyak 40 pingat emas dan kita mengharapkan atlet-atlet UPM dapat menjaga kesihatan sepanjang baki tiga hari lagi acara berlangsung," katanya semasa ditemui di Stadium UUM pada petang Selasa.
Jelas Shahrulnizar, sasaran pingat emas kali ini rendah berbanding pencapaian 19 pingat emas di SUKIPT 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana terdapat atlet utama UPM tidak hadir disebabkan oleh kecederaan dan tidak cergas.
Walaubagaimanapun, beliau mengharapkan atlet pelapis yang diberikan ruang dapat memanfaatkan peluang kali ini dalam menyerlahkan pontensi masing-masing.
Enam lagi pingat emas yang diraih UPM pada hari pertama acara olahraga SUKIPT UUM 2024 adalah melalui acara lempar cakera lelaki dan wanita menerusi Kamal Farhan A Rahman serta Queenie Ting Kung Ni.
Acara 400 meter berpagar lelaki dan wanita menerusi Muhammad Aftar Rosli serta Mandy Goh Li.
Dua lagi menerusi acara Lompat jauh lelaki iaitu Andre Anura Anuar serta 4×400 meter campur.
Pada hari kedua di lapangan olahraga SUKIPT UUM 2024, sebanyak sembilan emas dipertandingkan hari ini.