400 pelajar PPKI hasilkan Jalur Gemilang guna 6,000 cawan pasir

Iklan
Seramai 400 pelajar PPKI dari 39 buah sekolah di daerah Besut menyertai aktiviti Semarak Merdeka yang diadakan di Pantai Bukit Keluang, Besut.

BESUT - Sambutan Hari Malaysia yang akan diraikan pada 16 September depan disemarakkan oleh pelajar Program Pendidikan Khas (PPKI) dengan membentuk Jalur Gemilang menggunakan 6,000 acuan cawan pasir di Pantai Bukit Keluang, di sini.

Ketua Penyelaras Semarak Merdeka PPKI Besut, Mohamad Hanif Abdul Murad berkata, bendera sepanjang 14 meter itu dihasilkan oleh seramai 400 pelajar PPKI dari 39 buah sekolah di daerah tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aktiviti yang dijalankan itu tidak menggunakan peruntukan besar kerana menggunakan bahan semulajadi iaitu pasir dan kertas warna.

Sebanyak 6,000 cawan pasir digunakan untuk membentuk Jalur Gemilang sepanjang 14 meter di Pantai Bukit Keluang, di Besut.

"Kita menggunakan adunan pasir yang dicampur air sebelum dimasukkan ke dalam cawan plastik untuk menghasilkan bentuk petak.

Iklan

"Selain itu, kita juga menggunakan kertas warna dengan kombinasi warna merah, putih, kuning dan biru untuk menghasilkan Jalur Gemilang," katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Bukit Keluang di sini, baru-baru ini.

Jelas beliau, program semarak merdeka PPKI ini melibatkan 11 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 28 Sekolah Kebangsaan (Sk) yang mempunyai program pendidikan khas itu disiapkan dalam tempoh dua jam bermula jam 9 hingga 11 pagi.

Iklan

Katanya, kesemua yang terlibat terdiri daripada pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran, pendengaran dan masalah kepelbagaian fungsi.

Katanya, program yang julung kali diadakan melibatkan pelajar istimewa itu dimeriahkan dengan aktiviti mengibar Jalur Gemilang di puncak Bukit Keluang dan program membersihkan pantai.

"Program ini dianjurkan bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan kanak-kanak yang dilihat sering terbelakang berbanding pelajar biasa, disebabkan kekurangan yang ada pada diri mereka,"ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Besut (Unit Pendidikan Khas), Zakaria Zulkifli berkata, program tersebut turut memberi pendedahan kepad pelajar berkenaan untuk bergaul dengan pelbagai kaum walaupun bilangan mereka tidak terlalu ramai.

Beliau berkata, program itu akan dijadikan sebagai acara tahunan kepada pelajar PPKI di daerah tersebut pada masa akan datang.

"Anak-anak istimewa ini kita perlu bimbing mereka dan mengajar mereka untuk menyelami semangat cintakan negara, mengenali dan mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum.

"Seperti hari ini, selain Sekolah Kebangsaan (SK) kita juga turut melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa, Jertih untuk bersama-sama dalam usaha kita membentuk keyakinan pelajar-pelajar PPKI ini," katanya.