KOTA KINABALU - Seorang individu telah diserang sekumpulan memerang dalam kejadian di sebuah taman rekreasi di Tanjung Aru, di sini, pada pagi Rabu.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Roland Oliver Niun berkata, susulan aduan yang diterima sepasukan anggotanya ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
"Siasatan awal mendapati kumpulan memerang itu telah memasuki pusat rekreasi itu untuk mencari makanan di kolam di taman tersebut.
"Memang terdapat populasi memerang liar berhampiran taman dan kami juga melihat berlaku perubahan tingkah laku haiwan tersebut apabila orang awam memberi makan.
"Walaupun memerang secara umumnya tidak agresif, haiwan ini mungkin menjadi agresif jika diprovokasi atau jika makanan yang dijangka tidak diberikan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Katanya lagi, JHL Sabah telah berhubung dengan pihak pengurusan taman tersebut dan menasihatkan mereka untuk membaiki pagar di kawasan tersebut bagi mengelakkan pencerobohan memerang di masa akan datang.
"JHL juga turut meminta pengurusan taman melaporkan sebarang kelibat memerang selepas pembaikan pahar dibuat.
"Selain itu, kami mencadangkan agar pihak pengurusan memantau dengan teliti keadaan pagar dan memasang papan tanda untuk mengurangkan interaksi antara pengunjung dan memerang bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.
Roland juga turut berkata, pihak JHL Sabah sedang mempertimbangkan untuk memindahkan memerang tersebut walaupun ia sukar untuk dilaksanakan.
"Namun, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak memberi makan atau memprovokasi mana-mana hidupan liar bagi mengelakkan interaksi dengan manusia dan mencegah perubahan tingkah laku haiwan yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini pada masa akan datang," katanya.
Sebelum itu, tular satu kejadian serangan sekumpulan memerang terhadap mangsa wanita di taman rekreasi tersebut.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa sedang beriadah bersama dua rakannya di taman berkenaan dan menyebabkannya mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital.