PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) yakin pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari mampu tampil setanding dengan pemain hebat dunia, mempamerkan persembahan terbaik dalam beberapa kejohanan menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Bagaimanapun Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam mengakui masih ada ruang yang perlu diperbaiki pemain berusia 25 tahun memenangi pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 itu, terutamanya selepas skuasy kini mula berubah daripada sukan berteraskan ketahanan semata-mata kepada sukan yang memerlukan gabungan kekuatan dan ketahanan.
"Sivasangari ketika ini beraksi dengan sangat baik. Dia sangat fokus. Cabaran dunia semakin sukar di luar sana terutamanya daripada pemain-pemain wanita Mesir yang mempamerkan persembahan menakjubkan, tahap kecergasan, kekuatan mental dan bermain setiap hari secara fizikal dan mental, ia sangat diperlukan dan saya bangga untuk mengatakan bahawa Sivasangari telah menunjukkan dia berani untuk menjadi sebahagian daripada mereka.
"Pada tahap ini, perkara paling penting baginya (untuk tingkatkan) adalah dari segi ketahanan fizikal dan mental, kerana apabila anda kalah, anda cenderung untuk berasa kecewa dan kemudian anda perlu bangkit semula dan melawan, jadi ini adalah dua perkara yang akan dilakukan oleh Sivasangari,” katanya kepada pemberita di sini.
Ketika ditanya sama ada SRAM telah menetapkan sasaran awal pada temasya berprestij yang diadakan setiap empat tahun itu, Maniam berkata, perkara paling penting ketika ini ialah memperbaiki ranking pemain negara dalam Persatuan Skuasy Profesional (PSA), kerana ia memberi petunjuk di mana kedudukan pemain Malaysia.
Maniam berkata, badan induk sukan skuasy itu merancang pelbagai inisiatif bagi membantu pemain negara kerana yakin, dengan menghantar mereka beraksi pada kejohanan antarabangsa secara kerap, ia akan memberikan pendedahan berharga yang berfungsi sebagai persediaan menyeluruh untuk memperbaiki sebarang kelemahan.
"Jadi sasaran memenangi pingat Sukan Olimpik, kami menggunakan kaedah untuk menaikkan ranking dalam PSA. Itu akan memberi kita petunjuk tentang kedudukan sebenar kita. Jadi sekarang, Sivasangari berada di tangga ke-10 dan kita mengalahkan beberapa pemain Mesir kerana maksimum dua pemain Mesir akan bermain di Sukan Olimpik. Persembahan pemain kita semakin meningkat, tetapi itu bukan jaminan pingat.
"Dia boleh menduduki ranking kelima dan dia masih belum berjaya. Jadi kita ada perkara lain yang perlu dipertimbangkan dari segi penyediaan atlet untuk beraksi cemerlang pada Sukan Olimpik,” katanya.
Julai lepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan permohonan atlet skuasy negara untuk berada di bawah program Fast Track Road to Gold (RTG) sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Menterinya Hannah Yeoh berkata permohonan itu termasuk bantuan kejurulatihan, peralatan latihan dan pemulihan serta sokongan perubatan dan perkhidmatan sains sukan yang akan disediakan segera, bersama latihan di luar negara dan perkhidmatan kepakaran teknikal untuk Ng Eain Yow, Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman. - Bernama