Kelantan laksana tuisyen percuma bernilai RM477,000

Iklan
Mohd Nassuruddin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil sekolah di bawah YIK bagi program kecemerlangan pendidikan.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mewujudkan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) secara percuma melalui peruntukan berjumlah RM477,000 yang akan bermula pada Oktober ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelaksanaan dibuat di bawah program Kecemerlangan Peperiksaan melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di setiap keseluruhan 45 DUN.

Iklan
Iklan

"TRS ialah inisiatif kerajaan negeri bertujuan membantu pelajar menghadapi kesukaran dalam pencapaian akademik disebabkan oleh kekurangan akses kepada pendidikan tambahan.

"Program menyediakan tuisyen percuma sebagai langkah membantu mereka meningkatkan potensi diri dan persediaan secukupnya untuk menghadapi peperiksaan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemerlangan Peperiksaan dan Pelajar ke Timur Tengah serta Perasmian Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan, di YIK Tunjong di sini pada Rabu.

Menurut beliau, program TRS pertama ini akan melibatkan seramai 1,350 pelajar iaitu 30 pelajar bagi setiap DUN dan akan dilaksakan dalam tempoh selama tiga bulan.

Iklan

"Setiap DUN Akan menerima RM10,600 untuk pengoperasian TRS.

"Program juga menyasarkan pelajar sekolah menengah yang memerlukan bantuan tambahan dalam pelajaran khususnya dari keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Tambah Mohd Nassuruddin, tuisyen tersebut merangkumi mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sejarah.

"TRS mencerminkan tekad kerajaan negeri yang berterusan demi masa depan cerah buat anak-anak.

"Kerajaan akan cakna dan berusaha dalam perkara yang membawa kebaikan dan kemakmuran kepada rakyat,” katanya.