Tindakan tegas elak insiden paip pecah

Iklan
Kejadian paip pecah menyebabkan hampir 8,000 pengguna di Tambun terjejas. Foto: FB Ashraf Kahasani

IPOH - Kerajaan Perak perlu mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan denda kepada syarikat kontraktor yang cuai menjalankan kerja-kerja penggalian hingga menyebabkan paip air pecah.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Ashraf Kahasani berkata, insiden terbaru paip utama pecah menyebabkan hampir 8,000 pengguna di kawasan Ulu Kinta dan Bandar Baru Putra di sini mengalami gangguan bekalan air, Isnin lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, insiden itu berjaya ditangani sepenuhnya Lembaga Air Perak (LAP) dengan melakukan pembaikan paip utama bersaiz 18 inci di Jalan Tambun Lama di sini.

"Insiden paip pecah disebabkan pihak ketiga sering berlaku namun LAP hanya boleh membuat tuntutan kesan segala kos pembaikan kerugian air yang terbuang dan kos penyelenggaraan kepada pihak terbabit.

Iklan

"AMK percaya undang-undang lebih tegas atau denda yang tinggi wajar dikenakan bagi membendung masalah yang sama berulang dan isu ini dibincangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu membuat pembelian penggantian lori tangki air baharu kepada LAP bagi menampung jumlah pengguna terjejas ketika gangguan bekalan air berjadual.

Iklan

"Daerah Kinta memiliki jumlah akaun pengguna air lebih tinggi berbanding daerah lain dan jumlah lori tangki yang dimiliki LAP tidak mencukupi untuk membuat penghantaran bekalan air dan terpaksa meminta bantuan lori tangki dari daerah lain.

"Selain itu, AMK Tambun mencadangkan pihak ketiga juga perlu bertanggungjawab menyediakan bantuan alternatif menghantar lori-lori tangki air melalui pembekal swasta ke kawasan-kawasan yang terjejas sepanjang tempoh gangguan," katanya.

Ashraf berkata, program penggantian paip berusia antara 30 hingga 50 tahun dan telah usang juga perlu dilaksanakan segera.

"Dengan adanya inisiatif terbaru kerajaan melalui Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) yang menjadi One Stop Agency (OSA) bagi pengurusan utiliti lebih terancang di seluruh negeri sepatutnya perkara seperti ni tidak berlaku.

"Hal ini berpunca ketidakpatuhan atau sambil lewa syarikat untuk menggunakan sistem KUDR yang hanya boleh diakses secara atas talian namun berlaku sebaliknya," katanya.

Ujar beliau, usaha ini sekiranya gagal ditangani dengan kadar segera akan menyukarkan sebahagian penduduk melakukan aktiviti seharian.