AMAT mustahil untuk sesiapa sahaja kembali ke masa lalu, tetapi tidak mustahil untuk membangkitkan nostalgia dengan lagu malar segar yang pernah dihasilkan oleh pengkarya hebat belantika muzik tempatan.
Faktor itu mendorong Dennsa dan Sensorhythm dengan sokongan Kementerian Komunikasi bersama Kumpulan My Creative Ventures menganjurkan Battle Of Time Exists X Masdo yang dijadual berlangsung di Dewan Merdeka, WTCKL pada 10 November, bermula jam 8 malam.
Wakil Dennsa, Dewi berkata, pemilihan nama Battle of Time sendiri sudah memberi indikasi transisi masa yang pernah dilalui kugiran legenda seperti Exists.
Kumpulan itu juga turut mempengaruhi perjalanan pemuzik-pemuzik generasi kini seperti Masdo.
"Apabila kedua-dua nama besar yang telah mencetak kejayaan dan dipuja sehingga ke Indonesia ini bergabung di atas sebuah panggung, maka pengalaman yang akan dinikmati penonton tidak hanya bersifat hiburan ‘kosong’ sebaliknya akan dipenuhi dengan pengetahuan tambahan tentang hebatnya pengkarya lokal.
"Seperti yang semua sedia maklum Exists adalah sebuah kugiran legenda dan karya mereka telah didengar daripada generasi Millenial kepada generasi Alpha.
"Masdo pula tidak dapat disangkal lagi aura muzik mereka bawakan telah menimbulkan fenomena dan gelombang tersendiri dalam kalangan penggemar muzik Nusantara.
"Lantas pemilihan Exists dan Masdo menerusi Battle Of Time Exists X Masdo adalah 'perkahwinan' era muzik lama dan baharu yang dibawa lalu disegarkan oleh mereka untuk diperdengarkan,” ujarnya.
Konsert ini adalah sebuah pengalaman ‘pulang ke masa silam’ yang tidak harus dilepaskan dalam suasana lampau dengan membeli kategori tiket dari Dia Pertama (RM159), Lempeng Twist (RM199), Anugerah Hati (RM219), Bunga Cemara (RM299), Teruna Juwita (RM399), Bidadari Pujaanku (RM599) Untukmu Puspita Royal Box (RM789).