'Dakwaan Perak lulus RM30 juta, tunduk desakan politik itu bohong' - MB

Iklan
Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH - Kerajaan Perak tidak pernah meluluskan peruntukan RM30 juta kepada Kampung Baharu di negeri ini sepertimana didakwa dalam video tular pada Rabu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dakwaan oleh seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan kononnya kerajaan negeri menerima desakan politik bagi kelulusan itu sama sekali tidak benar dan tidak berasas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan tersebut merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kampung baharu Cina termasuk menaik taraf kemudahan seperti jalan dan longkang.

"Amat dikesali apabila aktivis berkenaan membuat kenyataan di pentas politik dengan sengaja mengeluarkan kenyataan terpesong sehingga mengundang salah tanggapan publik terhadap kerajaan Perak.

Iklan

"Paling menggusarkan apabila sebahagian netizen menelan bulat-bulat kenyataan yang dibuat sehingga melemparkan bermacam persepsi negatif dan komen jelik lalu mengakibatkan perdebatan bermotif kaum di laman sosial," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menerusi video tular itu, aktivis terbabit mendakwa kerajaan Perak meluluskan peruntukan RM30 juta kepada kampung baharu Cina selepas menerima desakan politik daripada DAP.

Iklan

Dakwaan itu dibuat dalam satu program ceramah yang berlangsung di Bukit Katil, Melaka pada 3 September lalu dan turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Melaka merangkap Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, sekiranya KPKT diberi tanggungjawab membangunkan infrastrukur kampung-kampung baharu Cina, kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula berperanan membangunkan kemudahan kawasan luar bandar.

Katanya, pada tahun 2023 misalnya, kerajaan Persekutuan membelanjakan RM2.55 bilion bagi menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan desa termasuk pembinaan jalan baharu, bekalan air dan elektrik serta menaiktaraf jambatan dan membaik pulih jalan rosak.

"Kerajaan negeri amat mengalu-alukan wacana dan perbincangan sihat, tetapi biarlah ia dilakukan atas prinsip kebenaran, bukannya dengan membuat ulasan secara membuta tuli dengan memesong fakta atau mereka-reka cerita untuk menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat," katanya.