PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Laporan berhubung kajian untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet minggu depan.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar untuk membentangkan laporan dan langkah seterusnya pada mesyuarat berkenaan.
"Perdana Menteri meminta Menteri Agama untuk menyediakan laporan dan langkah seterusnya untuk dibincangkan minggu depan," katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kritikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyifatkan ia sebagai pengumuman mengejut dan terburu-buru oleh menteri sedangkan perkara itu masih di peringkat kajian.
Isu pensijilan halal menimbulkan polemik apabila Mohd Na'im memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun, ia dibantah oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang dilapor berkata, cadangan mewajibkan sijil halal itu akan menambah beban peniaga serta memalukan negara.
Bantahan tersebut kemudiannya mengundang pelbagai kritikan termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh, dan Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Dr Muhammad Akmar berkata, wakil rakyat DAP itu tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.