Perjuangan Bersatu tentang pendakwaan politik tidak terhenti - Hamzah

Iklan
Hamzah (kanan) dan beberapa pemimpin Bersatu yang hadir memberikan sokongan kepada Muhyiddin di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

SHAH ALAM - Perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencari keadilan tidak sesekali terhenti dengan pendakwaan politik yang dihadapi Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu sebaliknya memperkukuhkan lagi solidariti dan tekad untuk menentang kezaliman tersebut.

Iklan
Iklan

"Keputusan Mahkamah Rayuan pagi ini mengecewakan, tetapi kita akan berbincang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan barisan peguam untuk langkah perundangan seterusnya.

"Bersatu berdiri teguh bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sesungguhnya yakin ALLAH SWT akan membantu mereka yang dizalimi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada Rabu gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan di Putrajaya untuk menyemak keputusan yang mengembalikan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM232.5 juta dihadapinya.

Ini bermakna, bekas Perdana Menteri ini selaku pemohon, kekal atas tuduhan berkenaan untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Iklan

Keputusan sebulat suara itu, diputuskan panel lima hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi selepas mendapati mahkamah-mahkamah terdahulu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonannya.

Terdahulu, pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhyiddin, 77, daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan, mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.