'Bayi kami dikasari sehingga meninggal dunia'

Iklan
Dr Hafidzah (tengah) menenangkan Pheck Chin (kanan) dan Pei Yin semasa melawat keluarga tersebut pada Rabu.

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI]"Bayi kami dikasari sehingga meninggal dunia. Bukan tersedak susu sepertimana yang dilaporkan awalnya," itu dakwaan bapa kepada bayi lelaki berusia 30 hari yang maut semasa dibawah jagaan seorang jururawat di sebuah pusat jagaan berpantang di sini.

Choo Kamin, 30, memberitahu perkara sebenar itu terbongkar apabila mereka menyaksikan sendiri kejadian yang menimpa anak sulungnya, Choo Jyn Hern melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di bilik pusat jagaan itu.

Iklan
Iklan
Pheck Chin (kanan) dan Pei Yin menunjukkan rakaman CCTV yang mengaksikan bayi dikasari kepada Dr Hafidzah (kiri)

Dakwanya, bayi yang dinantikan selama tiga tahun itu diperlakukan dengan kasar oleh jururawat tersebut sehingga isterinya, Yap Pei Yin, 29, melalui trauma yang teruk apabila kejadian terbabit berlaku pada hari lahirnya iaitu 9 September.

"Sehingga sekarang emosi isteri tidak stabil malah setiap kali ingin mengepam susu, dia akan menangis teringat anak kami.

Iklan

"Saya pilih pusat jagaan berpantang tersebut untuk mendapatkan rawatan terbaik buat isteri serta anak. Kami membayar RM13,000 untuk rawatan selama 28 hari.

"Kami sepatutnya keluar dari pusat tersebut pada 10 September dan kejadian itu berlaku sehari sebelumnya," katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Panji di sini pada Rabu.

Iklan

Sebelum itu keluarga tersebut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Ahli keluarga Kamin sehingga hari ini masih trauma dengan kehilangan bayi lelaki sulung mereka.

Susulan kejadian terbabit, Kamin serta ahli keluarganya akan mengambil tindakan saman terhadap pusat jagaan berpantang itu serta menyerahkan kes jururawat terbabit kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, kejadian itu memberikan trauma bukan sahaja kepada isteri tetapi ibunya, Gan Pheck Chin, 60, yang sangat menantikan kehadiran cucu lelaki itu.

"Sehingga hari ini ibu masih bersedih dan kami berharap nasib yang menimpa anak kami ini akan mendapat pembelaan," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, bayi lelaki berusia 30 hari meninggal dunia selepas didapati tidak sedarkan diri setelah diberikan susu oleh jururawat yang ditugaskan menjaga mangsa di sebuah pusat jagaan berpantang di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 5.30 pagi.

Pei Yin tidak dapat menahan sedih ketika menerima kunjungan daripada Dr Hafidzah ke rumahnya di Kampung Teluk Panji, Kota Bharu.

Menurut beliau, laporan diterima berkaitan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi berkenaan.

Pada Rabu, seorang jururawat direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia 30 hari pada Isnin.

Perintah tahanan reman bermula Rabu sehingga Selasa depan terhadap wanita berusia 22 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.

Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.