ALOR SETAR - Seorang warga Pakistan memohon Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini pada Rabu mengekalkan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atasnya kerana membunuh dengan cara memancung leher majikan yang didakwa menghina agama kira-kira 13 tahun lepas.
Sebelum persidangan khas Mahkamah Persekutuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Rabu bermula, Syafaqat Ali Ghulam Nabi, 43, secara tiba-tiba bangun memohon rayuan agar hukuman gantung ke atasnya dikekalkan atas alasan tidak mahu lagi meringkuk dalam penjara.
Syafaqat Ali terlepas hukuman mati mandatori setelah Mahkamah Persekutuan menggantikan dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan ke atas dirinya.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Tengku Maimun memerintahkan hukuman penjara ke atas lelaki berkenaan dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 24 Ogos 2011.
Peguam pemohon, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud kemudiannya mengemukakan hujah termasuk berkaitan masalah mental lelaki itu yang disahkan pakar di Hospital Seberang Perai, Pulau Pinang.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abd Aziz memohon agar hukuman berat ke atas lelaki berkenaan yang bertindak memancung majikannya itu.
Pada 25 Ogos 2015, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan hukuman mati terhadap Syafaqat yang bekerja di kebun tanaman pokok kemboja mangsa oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Harjit Singh Bachan Singh, 51, di Kampung Sungai Padang Sertik, Bentong, Pahang pada 8.30 malam, 23 Ogos 2011.