JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Maju Jaya berhampiran Sungai Tebrau di sini yang dilaporkan tercemar dengan bahan kimia berharap agar kejadian berkenaan dapat diatasi segera kerana dikhuatiri memberikan kesan kepada kesihatan penduduk.
Seorang peniaga, Norlela Chokaran, 50, berkata, bau busuk berpunca pencemaran sungai berkenaan memberikan kesan pada perniagaannya.
Malah katanya, pada hari pertama pencemaran itu berlaku, pelanggan hanya membeli makanan untuk dibungkus dan tiada yang makan di warungnya.
"Hari pertama tu baunya sangat kuat dan mengganggu perniagaan saya. Pelanggan ramai yang datang untuk bungkus sahaja, tak ada yang makan di warung.
"Hari kedua rasa macam tak busuk sangat, pelanggan pun datang macam biasa dan hari ni hari ketiga alhamdulillah, rasa lebih elok, rasa udara kembali segar.
"Harap pencemaran tak berulang lagi dan kerja-kerja pembersihan itu hendaklah dijalankan dengan baik,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Izuna Ismail, 38, berkata, bau busuk sungai berkenaan memang kuat khususnya pada waktu pagi.
Malah katanya, bau busuk tersebut turut menyebabkannya berasa loya selain berasa tidak selesa dengan keadaan persekitaran.
"Bau sungai ni memang kuat waktu pagi. Memang busuk sangat sampai rasa ke tekak, teruklah.
"Semalam (Selasa) hujan, jadi bau busuk itu berkurang dan akan datang sekejap-sekejap,” katanya.
Fakhruddin Aman, 30, berharap agar pihak yang bertanggungjawab melakukan pencemaran berkenaan mendapat hukuman yang setimpal.
Katanya, perkara yang dilakukan oleh pelaku ternyata sangat tidak bertanggungjawab.
"Bagi saya, sungai ni merupakan sumber rezeki bagi orang-orang tempatan. Lagipun sungai ni dekat dengan penempatan penduduk.
"Akibat pencemaran ini juga pelajar sekolah masuk hospital, jelas perbuatan ini memang tidak bertanggungjawab," katanya.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Maju Jaya, Anita Ahmad berkata, bau busuk berkenaan sudah berkurangan sejak kerja-kerja pembersihan dijalankan di situ.
Bagaimanapun katanya, bau busuk berkenaan sekali sekala akan dapat dihidu, namun ia tidaklah sekuat seperti hari pertama sungai berkenaan disahkan tercemar.
"Keadaan bau sungai ni kadang-kadang ada terasa juga bila ditiup angin.
"Anak-anak muda kampung tersebut juga dilihat sudah tidak lagi melakukan aktiviti memancing di sungai berkenaan terutamanya pada waktu petang, susulan pencemaran bau berkenaan,” katanya.
Sementara itu Ketua Kampung, Kampung Maju Jaya, Roslan Hassan berkata, bau busuk yang dari Sungai Tebrau sudah pun berkurangan.
"Alhamdulillah, pagi ini, keadaan bau busuk dah berkurangan. Bukan tak ada, tetapi ada sedikit.
"Harapan saya semoga perkara ini akan dapat diselesaikan sepenuhnya pada masa akan datang,” katanya.