Dicerai secara paksa, Nora Ariffin akhirnya buka mulut

Iklan
Nora

SELEPAS hampir sebulan mengunci mulut mengenai perceraiannya, penyanyi Datuk Nora Ariffin akhirnya membuka mulut menjawab segala persoalan yang timbul sebelum ini.

Jelas pemilik nama penuh Wan Norafizah Datuk Wan Ariffin, perceraian itu berlaku secara paksaan oleh pihak ketiga, sebaik beliau menunaikan solat Subuh bersama Dr Rushdi Ramli.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun Nora enggan berkongsi tarikh sebenar penceraian itu berlaku.

"Memang berlaku paksaan (diceraikan) dan ia berlaku di depan saya. Ketika itu kami baru selesai menunaikan solat Subuh bersama dan beliau dapat panggilan telefon untuk ceraikan saya.

Iklan

"Saya sangat terkejut dan tertanya-tanya apa salah saya waktu itu. Disebabkan terlalu emosi saya terus merakam lafaz cerai tersebut,” katanya.

Nora berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey di BSYNCLIVE, di sini, pada Rabu.

Iklan

Bagaimanapun, Nora, 51, mengakui kesilapan apabila memuat naik video berkenaan di media sosialnya pada 12 Ogos lalu.

Menyifatkan tindakan itu didorong emosi, Nora bagaimanapun telah memohon maaf terhadap bekas suaminya.

"Saya diceraikan sebelum tarikh saya memuat naik video berkenaan. Cuma saya sedar, tindakan saya berkongsi video itu adalah satu kesilapan.

"Sebagai manusia, saya tidak mampu mengawal emosi dan berfikir secara rasional. Saya sudah pun meminta maaf kepada bekas suami atas tindakan itu.

"Niat saya berkongsi video itu sebenarnya untuk jelaskan status saya. Saya harap apa yang berlaku boleh dijadikan pengajaran...” ujarnya yang mengakui tenang mengharungi ujian hidup.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan kononnya Dr Rushdi melafazkan cerai disebabkan wujudnya unsur ugutan bersenjata, penyanyi yang terkenal dengan lagu Di Persimpangan Dilema tersebut menafikannya.

"Tak adalah sampai begitu sekali. Saya pun tak sangka netizen berspekulasi sampai tahap itu.

"Semua orang boleh buat spekulasi, tapi hanya saya tahu apa sebenarnya yang berlaku. Pistol atau pisau memang tiada,” jelasnya yang memilih untuk merahsiakan usia sebenar perkahwinan mereka.

Terdahulu, Nora mengumumkan sudah kembali bergelar isteri kepada Rushdi yang juga sahabat baik arwah suami Nora iaitu Allahyarham Johan Nawawi pada 2021.

Johan yang juga komposer tersohor meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun. Hasil perkahwinan Johan bersama Nora, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.