PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sedia menggalas tanggungjawab sebagai pelumba utama, sekiranya Datuk Mohd Azizulhasni Awang secara rasmi tidak beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Muhammad Shah Firdaus, 29, berkata, kesediaan itu dapat dilihat ketika beliau menjadi ketua pasukan dalam beberapa kejohanan antarabangsa, seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
"Saya sentiasa bersedia memikul tanggungjawab berkenaan, sejak saya sertai pasukan elit ini lagi. Saya juga sudah buktikan ketika mengetuai pasukan pada Sukan Komanwel dan Asia, kami mendapat keputusan baik.
"Jadi saya rasa tiada masalah, saya tahu lambat laun memang akan pikul tanggungjawab ini. Jadi saya harap generasi selepas saya juga perlu bersedia kerana mungkin akan tiba giliran mereka untuk memikul tanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah pusat beli-belah di sini pada Rabu.
Muhammad Shah Firdaus berkata, The Pocket Rocketman itu akan terus menjadi mentor buat dirinya, bagi mempersiapkan diri memenuhi harapan menggunung rakyat Malaysia yang mahupun pingat emas Sukan Olimpik.
Atlet berasal dari Muar itu berkata, walaupun Sukan Olimpik 2028 masih berbaki empat tahun, latihan dan persiapan untuk menghadapi temasya itu telah bermula lebih awal.
"Harapan (rakyat Malaysia) memang tinggi, Datuk (Azizulhasni) sudah letak sukan berbasikal ini pada tahap yang tinggi, jadi saya juga kena bersedia dari segi mental dan fizikal.
"Saya sendiri telah kembali berlatih sejak minggu lepas, beberapa minggu selepas Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir. Alhamdulillah kecederaan ketika temasya itu sudah semakin pulih,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus turut berharap pihak berwajib akan meneruskan usaha mencungkil bakat baharu pelumba berbasikal trek untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa pada masa depan.
"Johor sudah mempunyai velodrom bertaraf antarabangsa, jadi saya harap fasiliti itu akan dimanfaatkan sebaiknya bagi melahirkan lebih ramai jaguh berbasikal trek negara,” katanya.
Ahad lepas, media melaporkan Azizulhasni memberikan bayangan tidak akan menyertai Sukan Olimpik 2028 sebagai seorang atlet, sebaliknya sedia membantu pelumba muda negara.
Pada Sukan Olimpik Paris 2024, Muhammad Shah Firdaus disingkirkan pada pusingan final acara keirin lelaki meskipun menamatkan cabaran di kedudukan keempat dalam acara itu. - Bernama