'Perincikan kandungan 3R apa yang boleh, apa tak boleh' - Tun M

Iklan
Dr Mahathir

SHAH ALAM - Kerajaan diminta memperincikan apakah kandungan yang dibolehkan sekiranya mana-mana pihak menyentuh isu berkenaan agama, raja dan kaum (3R).

Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menyatakan bahawa berbicara tentang 3R adalah dilarang, namun tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia seolah-olah seseorang dilarang untuk bercakap mengenai isu terbabit buat selama-lamanya, tidak sama seperti pentadbiran zaman Dr Mahathir dahulu.

"Akhbar ditutup pada zaman Dr Mahathir kerana laporannya menyebabkan berlaku ketegangan kaum. Hari ini, akhbar atau wartawan disoal siasat polis jika laporan mereka tidak disukai kerajaan.

Iklan

"Umum mengetahui kerajaan melalui Kementerian Komunikasi mengarahkan syarikat akhbar termasuk media sosial untuk tidak melaporkan apa-apa yang tidak disukainya.

"Boleh lihat rekod pentadbiran semasa mendahului kedudukan global sebagai kerajaan yang membuat permintaan tertinggi untuk menghapuskan kandungan di media sosial," katanya pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa Dr Mahathir masih mempunyai kebebasan penuh untuk menyuarakan pendapat dan bergerak ke mana-mana tanpa sebarang sekatan.

Dakwa Fahmi, era pentadbiran sekarang dengan zaman sewaktu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri amat berbeza sehinggakan syarikat akhbar ditutup dan orang ramai yang mengadakan demonstrasi dipukul, ditangkap serta dipenjara.

Mengulas lanjut, Pejabat Dr Mahathir memaklumkan, Fahmi selaku menteri sanggup mengambil pendekatan menghantar pasukan polis ke rumah mana-mana pengguna media sosial yang mengkritik kerajaan semasa.

Tambahnya, media sosial sepatutnya diberi kebebasan penuh, tetapi sekarang terdapat cadangan untuk melaksanakan lesen dan pemantauan.

"Semasa zaman Dr Mahathir, Anwar menganjurkan demonstrasi mingguan terhadap kerajaan, namun kegiatan beliau tidak dihentikan.

"Sekarang kebenaran demonstrasi tidak diperlukan. Tetapi, polis akan campur tangan dan pemimpin dipanggil untuk disoal siasat. Tiada penunjuk perasaan dipenjara kerana berdemonstrasi atau memetik nama Dr Mahathir.

"Mereka hanya dihukum kerana melanggar undang-undang selepas perbicaraan. Tetapi, sekarang orang yang tak buat salah ditahan beberapa hari. Anwar kata mereka yang bercakap tentang bangsa atau agama tiada tempat di negara ini," ujar kenyataan itu.