MOSCOW - Saham Trump Media & Technology Group Corp turun 14.4 peratus dalam dagangan prapasaran pada Rabu, menurut data dagangan saham, lapor Agensi Berita Sputnik.
Saham media, yang didagangkan di Bursa Saham New York di bawah simbol DJT yang mengambil nama Donald J. Trump, jatuh mendadak selepas calon presiden Republikan itu berdebat dengan pesaing Demokrat, Kamala Harris di ABC News pada malam Selasa. Ia ditutup 3.27 peratus lebih tinggi pada Selasa.
Iklan
Iklan
Trump Media & Technology Group Corp ialah syarikat induk platform media sosial Truth Social, yang dimiliki oleh bekas presiden AS. Trump mempunyai lebih 50 peratus kepentingan dalam kumpulan itu, yang mempunyai nilai pasaran $3.7 bilion.
Pada 10 September, Donald Trump dan Kamala Harris berdebat buat kali pertama menjelang pilihan raya presiden 2024.
Tinjauan CNN terhadap pemerhati debat mendapati 63 peratus pengundi berdaftar berpendapat Harris mengatasi Trump. Pilihan raya presiden Amerika Syarikat akan diadakan pada 5 November. - Bernama/Sputnik