GLC mampu jadi enjin baharu kepada kekuatan ekonomi negara

Iklan
Muhammad Asri

SHAH ALAM - Model ekonomi negara perlu seiring dengan perubahan kemajuan dunia bagi memastikan perjalanan negara dalam mencapai status negara maju seiring dengan rangka Ekonomi Madani dapat direalisasikan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Perkhidmatan Awam dan Pembangunan Universiti Malaya, Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata, tanggapan tidak baik dan bertentangan dengan realiti berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh dihentikan menerusi usaha berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kita jangan anggap penubuhan GLC sesuatu yang merugikan, sebab itu pada 1970 sewaktu pemerintahan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein di mana ekonomi dipacu oleh perusahaan awam dan ia banyak ditubuhkan untuk menjayakan rangka dasar ekonomi ketika itu.

"Jiran kita di Singapura, GLC terbesar mereka adalah Temasek, firma pelaburan milik kerajaannya yang memasuki pelaburan di Thailand dan Myanmar telah menjadi penyumbang kepada jumlah pendapatan besar kepada negara berkenaan.

Iklan

"Jadi, kita jangan pandang negatif GLC ini, kalau diurus dengan baik ia akan menjadi enjin baharu kepada kekuatan ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 455 'Gabung Agensi dan Cabaran Reformasi' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Iklan
Wacana Sinar edisi 455 'Gabung Agensi dan Cabaran Reformasi' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Program yang dihoskan Dr Noor Nirwandy Mat Noordin itu menampilkan bekas Pengarah Sumber Manusia MITI, Lailah Che Mohd Darus dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh sebagai panelis.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, GLC perlu diperkemaskan supaya dapat memperkuat kepentingan ekonomi strategik negara menerusi kekuatan sektor kejuruteraan dan teknologi.

"Kalau saya kata tadi kekuatan ekonomi sekarang dipacu oleh teknologi, kita (memang) ada dalam bentuk GLC tetapi berterabur. Kenapa kita tak gabung macam Temasek?

"Contohnya, DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) atau kemahiran berkaitan pembinaan kapal laut dan juga teknologi aeroangkasa. Kenapa kita tidak letak di bawah satu konglomerat seperti mana dilakukan Jepun?

"Inisiatif ini adalah untuk mereka (GLC) mempunyai ekonomi kemahiran, boleh memberi peluang pekerjaan yang besar, mendatangkan inovasi dan teknologi baharu serta berkemungkinan bergerak ke arah teknologi menguntungkan iaitu komunikasi seperti China," ujarnya.