PEMILIK dan pemegang saham Concorde Hotel Kuala Lumpur menafikan laporan media yang melaporkan hotel itu akan dijual pada harga hampir RM700 juta.
Pengerusi Ampang Hotel Sdn Bhd, Tan Sri Sallehuddin Mohamed menegaskan hotel dengan 581 bilik itu bukan untuk dijual.
"Concorde Hotel Kuala Lumpur terus berkembang maju, hasil usaha gigih pasukan kami yang berdedikasi dan juga kesetiaan pelanggan kami.
"Perniagaan kami mencatatkan prestasi yang sangat baik dan meraih hasil yang kukuh. Pemegang saham kami berpuas hati dengan kemajuan dan hala tuju yang kami ambil,” katanya dalam satu kenyataan.
Concorde Hotel Kuala Lumpur dimiliki sepenuhnya oleh Ampang Hotel.
Sallehuddin berkata, hotel berusia 33 tahun itu akan terus kekal beroperasi dan menumpu untuk menambah baik perkhidmatannya dan mengembangkan lagi tawaran bagi menyediakan khidmat terbaik kepada pelanggan.
"Kami menghargai sokongan berterusan dan berharap dapat terus mengalu-alukan kedatangan tetamu kami pada tahun-tahun yang akan datang," katanya.
Menurut laporan media yang memetik sumber tidak dinamakan baru-baru ini, hotel itu yang terletak di tanah pegangan kekal seluas 1.8 hektar di sepanjang Jalan Sultan Ismail, bakal dijual.
Laporan itu menyatakan hotel tersebut mungkin akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan bersepadu bernilai berbilion ringgit. - Bernama