Ikutlah peraturan, jangan cemar nama baik RX-Z Members

Iklan
Himpunan RXZ Members 5.0 yang berlangsung Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus. Foto UPDI

SABAN tahun isu ‘pukat’ sering menjadi perbualan hangat pengunjung himpunan RX-Z Members di Litar Permotoran Terengganu.

Mana tidaknya, mereka yang takut kerana mengubah suai motosikal sering mencari jalan untuk melepasi pemeriksaan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Merak Jalanan percaya, isu pukat ini hanya sentimen segelintir penunggang RX-Z sahaja.

Bagi yang patuh dengan spesifikasi motosikal dua lejang itu, sudah tentu ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tiada masalah.

Iklan

Secara jujurnya, Merak Jalanan percaya tindakan operasi sama ada sekatan jalan raya atau pemeriksaan rambang dilakukan sebagai langkah keselamatan semua pengunjung, masyarakat sekeliling dan mana-mana pihak berkaitan.

Tindakan penguatkuasaan bukanlah hendak menganiaya, sebaliknya langkah positif agar himpunan terbesar jentera dua roda itu bermula dan tamat dengan suasana positif.

Iklan

Sangat kena dengan slogan program RX-Z Members 6.0 iaitu ‘Kalau Takut, Jangan Ikut’.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin dilaporkan berkata, langkah menambah sekatan jalan raya diambil bagi memastikan peserta mematuhi undang-undang ditetapkan seterusnya menjaga ketenteraman awam.

Justeru, sangat dititikberatkan peserta untuk mematuhi peraturan seperti memastikan nombor pendaftaran kenderaan mengikut piawaian yang ditetapkan selain ekzos kenderaan tidak diubah suai.

Setiap kenderaan perlulah berhenti di sekatan jalan raya untuk pemeriksaan pihak berkuasa.

Polis juga sudah memberi pesanan bahawa kenderaan yang tiada perlindungan insurans, cukai jalan tamat tempoh, pemandu tidak mempunyai lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh adalah tidak dibenarkan menyertai program ini.

Ayuh, semua yang datang ke himpunan motosikal ini, marilah sama-sama patuh semua peraturan ditetapkan.

Usah jadikan program besar ini dicap sebagai aktiviti ‘merempit tahunan’.