‘Wujudkan jawatankuasa bebas siasat aduan buli doktor‘

Iklan
Berdasarkan siri laporan pelbagai media dan pengakuan beberapa doktor sendiri, budaya buli juga berlaku dalam kalangan profesional termasuk doktor. Foto hiasan

SHAH ALAM - Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) mencadangkan supaya sistem pelaporan yang bersifat tanpa nama atau anonymous diwujudkan supaya mangsa lebih berani untuk tampil ke hadapan dan membuat laporan bagi kes membuli doktor di hospital negara ini.

Menurut jurucakap Hartal Doktor Kontrak, mangsa sering tidak tampil untuk membuat laporan atas faktor khuatir akan dikenakan tindakan oleh pihak atasan.

Iklan
Iklan

Selain itu, beliau berkata, sepatutnya perlu ada jawatankuasa bebas yang boleh menyiasat aduan daripada mangsa serta diberi kuasa untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap pembuli termasuk digantung tugas sehingga siasatan selesai dilakukan.

Jurucakap itu menegaskan, jika terbukti bersalah, pembuli berkenaan perlu dikenakan tindakan tatatertib atau dibuang kerja sekiranya kesalahan berkenaan begitu serius.

Iklan

"Memang benar sebelum ini kes buli dalam kalangan doktor sudah dilaporkan kepada pihak atasan, namun ada sesetengah kes yang berlaku tidak dilaporkan atas sebab mangsa takut dikenakan tindakan.

"Budaya membuli dalam kalangan pengamal perubatan terutama membabitkan doktor sangat membimbangkan, namun sukar untuk mengetahui tahap keseriusan perkara tersebut memandangkan tiada data terkumpul,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Ditanya sama ada masih ada kes yang tidak mendapat pembelaan sehingga sekarang, beliau berkata, perkara tersebut tidak dapat dipastikan.

Menurutnya, ia berikutan pihaknya tidak mempunyai rekod atau pengetahuan mengenai perkara berkenaan.

"Bagaimanapun, tidak dinafikan ada pihak atasan yang menjadikan mereka yang lebih junior sebagai punching bag untuk melepaskan geram dengan memarahi dan memaki,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan mana-mana kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang pernah mengalami atau tahu mengenai insiden buli dalam kalangan warga kementerian itu untuk melaporkan insiden terbabit.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga menegaskan, KKM memiliki kemudahan pelaporan bagi sebarang insiden buli dengan aduan boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA).

"KKM mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang gejala buli dalam kalangan pengamal perubatan, terutama membabitkan doktor.

"Maklumat peribadi mangsa mahupun whistle-blower atau pemberi maklumat bagi sebarang insiden buli dalam kalangan warga KKM akan sentiasa terjamin dan tidak didedahkan kepada umum,” kata beliau.