SHAH ALAM - Usaha seorang chef selama 10 tahun menimba ilmu pembuatan keju di Republik San Marino akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membuka kilang dan memasarkan produk tersebut kepada pengusaha restoran serta usahawan seluruh negara.
Pengusaha, Ismail Morad berkata, kejayaan perniagaan tersebut bukan sahaja mampu bertahan sehingga kini, malah mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut anak jati Langkawi itu, Tun Mahathir sering kali membeli produk keju mozzarella sebagai tanda sokongan ke atas perniagaannya.
"Saya bermula sebagai tukang masak di sebuah hotel terkemuka di Langkawi.
"Kemudian pada 2008 ditawarkan untuk belajar selok belok membuat keju dan pulang sahaja ke Malaysia saya mula mempersiapkan diri untuk membuka kilang di Langkawi.
"Pada mulanya memang susah. Saya pernah buang 500 kilogram (kg) hingga satu tan susu lembu kerana sudah tercemar. Jadi terpaksa buang semua. Perkara itu berlaku sewaktu awal kita buka kilang dulu.
"Tun Mahathir sangat berminat dengan perniagaan saya dan beliau juga sering kali membeli keju daripada kami,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, menurut Ismail, kilang perusahaannya kini bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menghasilkan lebih banyak penyelidikan dan produk tenusu terbaik.
Tambahnya, dengan membuka kilang keju yang halal akan membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk mencuba makanan tersebut tanpa rasa curiga dan sangsi.
"Kita nak perkenalkan produk keju artisan ini kepada orang ramai dan tunjukkan kepada mereka proses sebenar untuk hasilkan keju terbaik mengikut proses tradisional.
"Apabila kita keluarkan produk keju halal orang ramai lebih yakin untuk gunakan produk tanpa waswas,” katanya.