Siasat tahap kebajikan, pendidikan kanak-kanak rumah amal

Iklan
Sebuah rumah amal milik sebuah pertubuhan terkenal yang dipercayai menempatkan penghuni wanita berusia 13 tahun ke atas diserbu oleh pihak di Puchong, Selangor pada Rabu. Foto Sinar Harian/HISYAMUDDIN AYUB

HEBOH apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak menyerbu 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan didakwa milik kumpulan perniagaan bermotifkan agama yang terkenal di negara ini.

Berdasarkan laporan, seramai 402 kanak-kanak terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan diselamatkan berumur setahun hingga 17 tahun.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, kanak-kanak berkenaan disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis terbabit.

Jelasnya, menerusi Ops Global yang dijalankan dari jam 6 hingga 11 pagi itu, polis turut menahan 171 individu terdiri daripada tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian berusia 17 hingga 64 tahun melibatkan 66 lelaki serta 105 perempuan.

Iklan

Difahamkan, kesemua mangsa yang diselamatkan akan menjalani saringan awal pemeriksaan kesihatan di fasiliti disediakan sebelum proses dokumentasi dibuat di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, timbul beberapa persoalan mengenai bagaimana tahap kebajikan yang disediakan oleh pengurusan rumah amal terhadap kanak-kanak tersebut kerana mereka sepatutnya dijaga dengan baik dan diberikan akses kepada pendidikan.

Iklan

Memetik laporan, penduduk berhampiran rumah amal di Kampung Sri Aman, Puchong mendakwa tidak pernah melihat kanak-kanak terbabit ke sekolah atau bergaul kerana lebih gemar melakukan aktiviti sendiri dalam kawasan kediaman mereka.

Sekiranya benar kanak-kanak itu dijaga dengan penuh kasih sayang, mengapa keadaan tubuh badan mereka dilihat tidak baik dan dari aspek pendidikan pula adakah ia sama dengan silibus yang diterapkan di peringkat sekolah?

Adakah golongan terbabit menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti remaja lain?

Justeru, siasatan terhadap aspek kebajikan dan pendidikan mangsa perlu dilakukan secara menyeluruh kerana tidak mungkin orang ramai akan membiarkan sahaja isu sebegini diam seperti ‘angin lalu’.

Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu memainkan peranan dalam memulihkan kembali kesihatan mental dan fizikal mangsa yang bercelaru akibat penganiayaan dihadapi mereka.