TEMERLOH - Pas perlu memimpin dan menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) ini kerana majoriti anak muda memerlukan parti itu untuk membela mereka.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, menjadi harapan anak muda kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) khususnya ditunjukkan mereka dalam PRU15 lalu, dengan sejumlah besar undi diberikan kepada parti itu.
Beliau menunjukkan bukti data PRU15 merekodkan pengundi muda berusia 18 hingga 40 tahun berjumlah 10,998,944 orang iaitu menyamai 51.95 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi.
Menurutnya, dari jumlah ini, data Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat menunjukkan undi yang diperolehi PN di semua saluran pengundi muda di semua negeri (kecuali Sabah dan Sarawak) berjumlah 44 peratus.
"Manakala Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang belum bergabung ketika itu masing-masing 22 peratus dan 33 peratus. Ini keputusan PRU15 pada tahun 2022.
"Pada ketika Pilihan Raya Negeri (PRN15) pada tahun 2023, setelah PH dan BN bergabung, sokongan anak muda kepada PN khususnya di enam negeri iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang didapati meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucaptama Ketua Pemuda di Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-65 yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur di Kerdau pada Khamis.
Afnan Hamimi berkata, secara kiraan mudah, lebih separuh daripada pengundi muda berusia dari 18 hingga 40 tahun memberikan undi kepada Pas melalui PN, dan tidak menolak kemungkinan ia dari golongan tidak berparti.
Ujar Ahli Parlimen Alor Setar itu, kepercayaan undi diberikan anak muda itu kerana atas faktor yakin dan percaya Pas serta PN mampu memimpin mereka.
Katanya, mereka berikan kepercayaan kepada Pas setelah mengenali budi pekerti dan diyakini kejujuran serta kebaikan seseorang.
"Begitulah caranya isteri kita jatuh hati kepada kita suatu ketika dulu. Dia sanggup dinikahi kita, sanggup menjadi pasangan hidup, sanggup berkongsi segala suka duka, sanggup mengandungkan dan bertarung nyawa melahirkan zuriat keturunan kita.
"Semuanya sebab dia percaya kepada kita! Begitulah mahalnya nilai kepercayaan seorang isteri kepada seorang suami. Maka, hargailah kepercayaan itu,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau mahu anak muda menjadi seorang ilmuan antara ciri paling utama bagi seseorang pemimpin.
Kata beliau, Dewan Pemuda Pas perlu membina para pemuda yang suka membaca, membuat analisis, menulis artikel, menerbitkan kandungan dan mengikuti majlis ilmu.
Afnan Hamimi memberitahu contoh ini dipamerkan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
"Walaupun jasadnya semakin dimamah usia, namun ketajaman minda, keupayaan daya juangnya mengalahkan kita yang masih muda dan mempunyai sosok tubuh badan gagah serta kuat.
"Ini menunjukkan kekuatan fizikal atau luaran juga sangat penting dalam membina kepimpinan dan faktor luaran ini berkait langsung dengan keberanian seseorang pemimpin menyatakan kebenaran serta menegakkan keadilan,” katanya," katanya.