TEMERLOH - Pemuda Pas menggariskan tiga hala tuju dalam usaha memperteguhkan tema 'Kita Memimpin' menerusi lima teras dalam lapan sektor organisasi itu.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia merangkumi pembinaan generasi yang bersedia memimpin kemenangan, memimpin sokongan anak muda serta menarik sokongan pengundi bukan Islam.
"Untuk memimpin dan mengisi kemenangan, sudah tentu Pemuda terlebih dahulu perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran asas dan insaniah.
"Kemahiran berfikir, penampilan imej pemimpin, komunikasi pengucapan awam, mengurus media serta kekuatan daya iltizam, semuanya telah tersedia dalam bentuk modul untuk disampaikan kepada ahli Pemuda seluruh negara," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-65, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mahu ahli-ahli sayap parti terus memimpin sokongan golongan belia kerana golongan itu telah menunjukkan minat untuk menyokong Pas.
Afnan Hamimi menegaskan, perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh supaya anak muda memahami keperluan untuk terus bersama perjuangan parti.
"Mereka perlu terus didekati dengan menggunakan bahasa, gaya dan pendekatan orang muda. Pemuda jangan jadi tua sebelum sampai umur tua, malu kalau masih muda tetapi berwatak seperti orang tua.
"Kita mesti jadi muda sebab nak memimpin anak muda dalam pelbagai segmen (supaya) mereka akan mudah terima siapa yang paling banyak persamaan,” ujarnya.
Sementara itu mengakui tugas menarik sokongan pengundi bukan Islam agak mencabar, namun beliau tetap optimis Pemuda Pas mampu menyampaikan penjelasan tepat dan benar terhadap sebarang isu berbangkit.
Malah Afnan Hamimi berpandangan, golongan tersebut boleh menerima penjelasan yang diberi sekali gus memberi maklum balas supaya dapat mengelakkan perkara tidak sepatutnya.
"Saya sebut mencabar kerana musuh sedang rancak menanam sindrom 'Islamophobia' kepada mereka, ada juga laporan yang salah tentang kita sehingga timbul persepsi tidak benar.
"Rakan-rakan bukan Islam sebenarnya tidak sukar untuk menerima kita (kerana) sekiranya diberi gambaran dan penjelasan betul serta tepat tentang apa-apa isu yang berbangkit.
"Semua ini pengalaman yang kita lalui apabila bertemu mereka dalam beberapa forum dan perbincangan anjuran Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) DPPM,” jelasnya.