SHANGHAI - Sebarang keputusan mengenai hasil kajian untuk mewajibkan pensijilan halal kepada semua restoran dan syarikat pengendali makanan adalah tertakluk di bawah kuasa Majlis Raja-Raja, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tegasnya, isu berkenaan tidak wajar dijadikan polemik kerana ia masih di peringkat kajian dan belum menjadi dasar yang tetap.
Justeru katanya, dalam isu ini tiada pihak seharusnya berasa tergugat dengan cadangan kajian mengenai kewajiban pensijilan halal itu.
"Lagipun, soal hal ehwal agama ini termasuk isu halal ini, adalah di bawah kuasa Majlis Raja-Raja, Jika kajian mendapati (perlu) mewajibkan atau tidak mewajibkan, kita serahkan kepada Majlis Raja-Raja. Jika kajian ini dibawa ke Kabinet, kita berpandukan nasihat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya perkara ini tidak dijadikan polemik.
Semalam, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar membentangkan laporan mengenai isu tersebut dan langkah seterusnya pada mesyuarat Kabinet akan datang.
Pada 6 September, Mohd Na'im dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Isu itu mencetuskan kontroversi apabila ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Ahmad Zahid berkata, proses mendapatkan sijil halal memerlukan pemohon untuk memenuhi syarat yang ditetapkan supaya proses permohonan berjalan lancar dan tidak terganggu.
Beliau juga mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menuduh Jakim 'lambat' dalam mengeluarkan sijil halal.
"Dulu ambil masa sembilan bulan, kemudian atas persefahaman Majlis Halal Malaysia dan Jakim, tempoh dipendekkan kepada 23 hari bekerja, dan kini dipendekkan lagi kepada 15 hari bekerja dari tarikh permohonan dikemukakan.
"Sekiranya semua syarat dipenuhi, dan sebelum itu, kita juga akan memanggil semua bakal pemohon ke suatu majlis libat urus Jakim untuk memberitahu tentang syarat yang perlu dipatuhi bagi memudahkan proses kelulusan," katanya. - Bernama