Gadai nyawa buru anak tebuan

Iklan
Anak tebuan yang menjadi makanan kegemaran kebanyakan masyarakat Siam. Foto Bernama

JERTIH - Segelintir masyarakat Siam di daerah Besut sanggup mengambil risiko disengat demi mendapatkan anak tebuan daripada sarang penyengat berbisa itu.

Hal ini kerana anak tebuan atau larva berwarna putih seakan-akan ulat sagu itu menjadi makanan eksotik terkenal dalam kalangan komuniti berkenaan dan ia bernilai tinggi hingga mencecah RM60 sekilogram.

Iklan
Iklan

Samran Eler, 54, yang mempunyai pengalaman memusnahkan sarang tebuan berkata, dia mengambil peluang musim tebuan bersarang antara bulan Ogos hingga November setiap tahun untuk memburu 'emas putih' itu.

"Rasa yang lemak manis menyebabkan anak tebuan itu digemari pelbagai peringkat usia dan boleh dimasak pelbagai menu seperti tomyam, masak serai dan goreng kunyit," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Tok Has di sini baru-baru ini.

Iklan

Samran yang bekerja sebagai mekanik berkata, anak tebuan yang diperolehnya hanya dinikmati sendiri bersama ahli keluarga dan tidak berhasrat menjualnya kepada orang ramai.

Samran berkata, walaupun proses memusnahkan sarang tebuan berisiko tinggi, namun ia berbaloi apabila memperoleh ribuan anak tebuan yang berada di dalam sesebuah sarang yang dibakar.

Iklan

Katanya, kerja memusnahkan sarang tebuan perlu dilakukan pada waktu malam untuk mengelak diserang serangga berbisa terbabit.

"Biasanya kerja itu (musnahkan sarang tebuan) bermula pukul 8 malam dan ke atas dengan berbekalkan minyak petrol dan kain buruk.

"Pada waktu malam, tebuan tidak aktif dan pandangannya terhad menyebabkan risiko disengat rendah, tetapi saya masih perlu sentiasa berhati-hati kerana jika tersilap langkah, sengatan puluhan ekor tebuan boleh membawa maut,” katanya yang tinggal di Kampung Tok Motong di sini.

Samran berkata, tebuan biasanya membuat sarang di tempat tinggi seperti di atas pokok dan bumbung rumah, tetapi ada juga yang bersarang di atas tanah dan baginya tugas membakar sarang tebuan yang berada di tempat tinggi menjadi lebih rumit serta berisiko. - Bernama