Kejohanan hoki dalam dewan buka tirai pada Sabtu

Iklan
MIHL 2024 menampilkan kelainan apabila akan berlangsung di pusat beli belah di Putrajaya. Foto KHM

LIGA Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) bakal membuka tirai Sabtu ini sehingga 21 September di Sport Arena IOI City Mall Putrajaya.

Kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu akan disertai lapan pasukan daripada kategori lelaki serta lapan pasukan wanita untuk memburu kejuaraan musim ini.

Iklan
Iklan

Menariknya musim 2024, bagi kategori lelaki dan wanita akan menampilkan tiga pasukan baru iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), MBPJ Black Widow dan Malaysia University – Terengganu Hockey Team (MU-THT) bagi kategori lelaki serta Malaysia University, Politeknik dan Wipers-KLHA bagi kategori Wanita.

Lima pasukan kategori lelaki yang bersaing pada musim 2022, DBKL HT, ATM, Maybank, Stallion-KJLJD dan Perlis Mighty Lion akan kembali memberikan saingan untuk merampas gelaran daripada juara bertahan, DBKL HT.

Iklan

Tidak ketinggalan, kategori wanita juga akan menampilkan lima pasukan yang membuat penampilan pada 2022 iaitu juara bertahan DBKL HT, MOHC, BNHC SMZN, CS Mustang HT dan Mutiara-PSHA.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Shurizan Mansor menyifatkan pemilihan venue di dalam pusat beli belah akan memberikan nilai tambah kepada liga musim ini.

Iklan

Malah beliau yakin langkah tersebut mampu menarik minat lebih ramai peminat untuk hadir memberikan sokongan.

"Antara matlamat kami membawa saingan liga pada musim ini di dalam pusat beli belah adalah bagi menarik minat orang ramai dan mendekatkan sukan hoki dalam dewan kepada peminat sukan hoki di luar.

"Dalam pada itu kami juga menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu sukan hoki dalam dewan serta pelapis kepada pasukan kebangsaan yang kini dalam fasa persediaan bagi menghadapi Piala Dunia 2025.

"Pihaknya turut berharap mutu persaingan pada musim ini akan lebih tinggi dan berada pada satu tahap lebih baik dengan penglibatan pemain kebangsaan dalam beberapa pasukan yang bersaing,” katanya yang juga pengurus pasukan kebangsaan hoki dalam dewan.

Shurizan yang juga Naib Presiden KHM turut berharap MIHL dapat berjalan dengan lancar mengikut perancangan selain penganjuran liga itu dapat memberikan pengalaman berguna kepada pegawai teknikal dan pengadil sebelum mengetengahkan mereka di peringkat yang lebih tinggi dalam sukan tersebut.

Beliau berkata, sebagai langkah untuk mempopularkan sukan berkenaan, MIHL 2024 akan disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran Sukan RTM, TV Okey dan pengstiman langsung, RTM Klik.

"RTM akan menyiarkan 20 perlawanan secara langsung termasuk aksi peringkat separuh akhir dan akhir. Ia sekali gus memberikan peluang kepada peminat yang tidak dapat hadir ke venue untuk turut menyaksikan kehebatan pemain-pemain Hoki Dalam Dewan dan kerancakan sukan ini sendiri.

"Menerusi siaran secara langsung ini, lebih ramai peminat sukan hoki dapat mengikuti kejohanan ini serta memahami sukan hoki dalam dewan,” katanya yang meletakkan sasaran agar penganjuran liga itu dapat menjadi batu loncatan bagi pemain baharu untuk diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.