PRK Mahkota: Rezeki peniaga, lauk-pauk licin setiap hari

Iklan
Restoran Bawah Kolong yang masih mengekalkak rumah tradisional menjadi tarikan di bandar Kluang.

KLUANG - Menghampiri hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu ini, peniaga kedai makan mula tersenyum apabila jualan harian makin bertambah.

DUN Mahkota di daerah Kluang yang terkenal dengan kereta api turut dikenali dengan keenakan makanan tempatan masyarakatnya.

Iklan
Iklan

Tidak hairanlah, suasana kedai makan sejak lebih seminggu lalu begitu meriah apabila boleh dikatakan menjadi tumpuan pengunjung yang kebanyakannya merupakan jentera parti.

Antara lokasi unik yang menjadi tumpuan ialah Restoran Bawah Kolong yang menyajikan makanan dan lauk pauk di ruang bahagian bawah rumah Melayu tradisional yang terletak di Kampung Melayu.

Iklan
Sulastri menunjukkan menu ayam bakar dan sotong bakar yang menjadi menu kegemaran pelanggan.

Peniaga, Sulastri Kasiman, 40 berkata, dia sendiri tidak menyangka sambutan pengunjung terhadap restorannya begitu meriah seawal jam 10 pagi hingga 5 petang.

Katanya, sambutan luar biasa itu menyebabkan 40 menu masakan lauk-pauk yang disediakan setiap hari licin.

Iklan

"Menu yang sering menjadi pilihan pelanggan ialah ikan patin dan ayam kampung masak lemak, daging salai masak lemak cili padi, paru berlada, asam pedas dan sambal belacan.

"Alhamdulillah kami sangat gembira dengan situasi ini. Kebanyakan yang datang bukan sahaja penduduk tempatan sebaliknya orang luar dan jentera parti," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pengunjung tidak henti-henti mengunjungi Restoran Bawah Kolong.

Sulastri berkata, bagi menampung sambutan luar biasa itu, dia merancang untuk menambah 80 menu lauk pauk serta pekerja.

"Sepanjang tempoh kempen PRK DUN Mahkota bermula pada Sabtu ini, saya menjangkakan pengunjung akan lebih ramai datang ke restoran.

"Oleh itu, 80 menu lauk pauk akan disediakan sepanjang kempen PRK DUN Mahkota. Begitu juga pekerja, sebelum ini ada lapan orang sekarang akan ditambah lagi dua orang," ujarnya.

Sulastri memberitahu setiap hari dia dibantu ibu, Kamariah Kanan, 75, serta adiknya menyediakan pelbagai menu lauk- pauk.

Pelbagai menu masakan air tangan Sulastri dan ibunya di Restoran Bawah Kolong.

"Walaupun sambutan begitu menggalakkan, kami tetap mengekalkan harga yang sama dan tidak berniat sama sekali untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan.

" Malah saya dan keluarga cukup berbangga kerana air tangan masakan keluarga dan rumah tradisional kami menjadi tarikan ketika PRK DUN Mahkota," ujarnya.