SUNGAI PETANI - Seorang penganggur dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah membuat hantaran menghasut institusi diraja melalui aplikasi Tiktok, Julai lalu.
Majistret M Kalaiarasi turut mengenakan denda RM4,000 terhadap tertuduh, Nor Ismail Amran Ghazilah, 42, atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Sebelum itu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman kerana tidak bermaksud untuk menghasut.
Nor Ismail berkata, tindakannya sekadar menulis perkara itu tetapi tidak membuat ucapan menghasut dan tidak menyangka akan dikenakan tindakan kerana telah memadam hantaran berkenaan.
Dalam rayuan sama, tertuduh juga memohon mahkamah mengenakan sekatan ke atas media yang sedang bertugas membuat liputan kes berkenaan kerana mendakwa kes terbabit tidak besar.
Bagaimanapun, Majistret M Kalaiarasi menjelaskan bahawa mahkamah tidak dapat berbuat demikian berikutan itu adalah kebebasan media untuk melaporkan kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menerbitkan penerbitan menghasut melalui TikTok iaitu melalui tulisan"Negeri Kedah curi hasil negeri lain-lain...Sultan Kedah pencuri sebenar ketika itu, saya cabar seluruh istana anak bukit dan mencabar Sultan Kedah".
Perbuatan itu dilakukan pada 6 Julai 2024 jam 10 malam, di pekan Sungai Petani.
Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan satu kesalahan bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum bawah Seksyen Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya S Preeyaa manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farahdina Che Bakar.
Terdahulu, Farahdina memohon agar hukuman ringan dikenakan memandangkan tertuduh yang berasal dari Kuala Lumpur telah menyesal, kesalahan kali pertama dan sudah lapan bulan tidak bekerja selain tinggal dengan ibu yang sudah tua.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon agar hukuman penjara setimpal dikenakan memandangkan kesalahan yang dibuat membabitkan institusi diraja selain pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar lebih berhati-hati menggunakan media sosial.