Kereta sapu 'cekik darah' pelancong

Iklan
Aedy Fadly (tengah) menunjukkan antara kenderaan pelbagai guna (MPV) yang disita menerusi operasi khas dijalankan sekitar Lembah Klang bermula 2 hingga 6 September lalu.

SHAH ALAM - Menyasarkan pelancong warga asing di hotel serta menggunakan aplikasi khas antara taktik dilakukan pemandu kereta sapu yang dikesan menerusi operasi khas dijalankan sekitar Lembah Klang bermula 2 hingga 6 September lalu.

Kegiatan yang didalangi individu warga tempatan dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) itu turut dikesan mengenakan harga tambang yang mahal terhadap penumpang.

Iklan
Iklan

Perkhidmatan kereta sapu yang dikesan dijalankan sejak sekian lama itu juga dipercayai menumpukan sekitar kawasan industri pelancongan selain menggunakan khidmat orang tengah untuk mencari penumpang.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya menukar taktik operasi dengan menfokuskan kepada kawasan sekitar hotel dan kawasan pelancongan.

Iklan

Beliau berkata, sebelum ini operasi kenderaan sapu ini giat dijalankan di kawasan lapangan terbang serta terminal bas namun taktik operasi kali ini diubah susulan menerima banyak aduan dan rungutan daripada orang awam.

Aedy Fadly (tengah) ketika sidang akhbar selepas lawatan rasmi di Pejabat JPJ Selangor, Padang Jawa di sini pada Khamis.

"Sebanyak 35 kenderaan termasuk MPV, van dan pelbagai kenderaan persendirian diperiksa dalam operasi ini.

Iklan

"Hasilnya, sebanyak 21 kenderaan persendirian dikesan menjalankan khidmat kereta sapu ini yang terdiri daripada pemandu warga tempatan berumur lingkungan 30-an," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan rasmi di Pejabat JPJ Selangor, Padang Jawa di sini pada Khamis.

Katanya, susulan itu, tindakan sitaan diambil terhadap kesemua kenderaan terbabit di bawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sebanyak 45 kesalahan dikesan antaranya melibatkan salah guna lesen kenderaan motor (LKM), tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen memandu tamat tempoh.

"Kesemua kesalahan ini turut dikenakan tindakan saman untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, khidmat kereta sapu itu turut memberi kesan kepada imej negara susulan kadar tambang yang dikenakan tidak masuk akal.

Aedy Fadly (tengah) bersama beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) yang disita menerusi operasi khas dijalankan sekitar Lembah Klang bermula 2 hingga 6 September lalu.

"Mereka terlibat ini menyasarkan pelancong asing yang tidak mengetahui asas berkaitan perkhidmatan sah selain kadar tambang, jadi bila dapat penumpang sebegini maka pemandu ini akan kenakan caj tambang yang mahal.

"Perkara ini secara langsung menjejaskan imej negara sekiranya dijalankan secara berleluasa, atas sebab itu kita perhebatkan operasi ini dengan lebih meluas," katanya.

Aedy Fadly menegaskan prebet sapu mewah terbabit tidak mempunyai insurans dan boleh membahayakan para penumpang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"JPJ memandang serius dan tidak berkompromi serta akan terus melaksanakan penguatkuasaan ke atas mana-mana pemilik atau pemandu yang didapati salah guna LKM kenderaan persendirian.

"JPJ juga sentiasa komited memastikan keselamatan setiap pengguna jalan raya dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna yang berterusan melanggar peraturan ditetapkan," katanya.