Pembangkang dijangka tolak MoU kerana cuba tutup mulut

Iklan
PN dijangka menolak memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Perpaduan kerana ia bertujuan untuk menyekat atau menutup suara mereka. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dijangka menolak memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Perpaduan kerana ia bertujuan untuk menyekat atau menutup suara mereka.

Difahamkan, dalam satu daripada klausa yang ditetapkan ialah PN perlu mengakui dan menyatakan komitmen bahawa setiap ahli Parlimen menahan diri dari membuat kenyataan, ucapan atau percubaan secara lisan atau bukan lisan yang bersifat kebencian.

Iklan
Iklan

Mereka juga dilarang untuk menggunakan sebarang bentuk bahasa yang merendahkan atau mendiskriminasikan mana-mana pihak atau kumpulan sama ada dasar agama, kaum, etnik warna kulit, asal-usul, jantina atau faktor identiti yang lain.

Selain itu, perkara yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan pemimpin PN ialah tidak ada sebarang jumlah peruntukan yang disebut dalam perjanjian tersebut yang menyebabkan ia disifatkan sebagai kabur.

Iklan

Sinar Harian turut diberitahu, pemimpin pembangkang tidak mempunyai sebarang masalah mengenai perkara yang melibatkan 3R iaitu agama, bangsa dan raja termasuk mengisytiharkan harta.

Sementara itu, dalam dokumen perjanjian yang dilihat Sinar Harian, sebanyak 11 obligasi atau perkara yang perlu dipenuhi dalam draf MoU tersebut termasuk larangan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Iklan

Turut terkandung dalam syarat itu itu ialah ahli Parlimen pembangkang perlu membuat aku janji untuk mengemukakan pengisytiharan harta dalam tempoh 14 hari dari tarikh MoU berkenaan ditandatangani.

Selain itu, PN juga perlu mengakui dan isytihar bahawa Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berasaskan prinsip maruah dan kesaksamaan semua rakyat Malaysia mempunyai peranan untuk mempromosikan dan menggalakkan penghormataan dan pematuhan terhadap hak asasi manusia.

Selanjutnya, Kerajaan Persekutuan juga turut menetapkan syarat ahli Parlimen PN tidak boleh membangkang atau mengganggu proses pentadbiran Kerajaan Persekutuan atau Dewan Rakyat, sebaliknya bersama-sama berusaha untuk menambahbaik sebarang cadangan dasar demi kepentingan umum negara.

Dokumen tersebut turut menyatakan MoU itu perlu ditandatangani dan dipersetujui oleh PN secara en bloc dan melibatkan kesemua ahli Parlimen yang mewakili pihak pembangkang di dalam Dewan Rakyat.

Draf itu juga turut mengandungi beberapa obligasi yang perlu dipatuhi Kerajaan Persekutuan antaranya kesemua ahli Parlimen pembangkang akan diberi layanan sama seperti wakil rakyat yang menyokong kerajaan dengan beberapa perkara yag perlu dipatuhi.

Terdapat tiga jaminan diberikan sekiranya MoU itu dipersetujui antaranya hak dan keistimewaan ahli Parlimen pembangkang dipelihara dan dilindungi untuk menjalankan tugasnya di Dewan Rakyat seperti tempoh masa berucap, akses kepada jawatankuasa pilihan Parlimen, hak untuk meminda, hak untuk membentangkan rang undang-undang dan usul.

Selain itu, kerajaan juga akan memberi akses kepada sumber rujukan, sumber pentadbiran, dan sumber kewangan, seperti ruang pejabat, pembantu Parlimen dan elaun serta diberikan peruntukan Dana Pembangunan Kawasan Parlimen mengikut peraturan, tatacara dan tatakelola penggunaan dana tersebut.

Dokumen itu juga turut menyatakan sekiranya mana-mana pihak gagal untuk menjalankan obligasinya sebagaimana yang dinyatakan, MoU ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan.

Sementara itu, beberapa ahli Parlimen PN mengambil sikap mengunci mulut berhubung perkara tersebut.

Menurut seorang ahli Parlimen PN yang dihubungi, sebarang kenyataan hanya boleh dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Saya tidak boleh memberi sebarang ulasan atau komen mengenai perkara ini kerana kita telah memberikan mandat kepada Ketua Pembangkang (Hamzah). Hanya beliau yang boleh buat kenyataan. Itu yang kita putuskan," katanya yang enggan nama disiarkan.

Dalam pada itu, satu sumber berkata, tiada sebarang kenyataan atau pengesahan oleh kerajaan dibuat berhubung penyebaran dokumen tersebut.

Difahamkan PN telah mengadakan mesyuarat pada Isnin bagi membincangkan maklum balas terhadap draf MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini mengesahkan pembangkang telah menerima draf berkenaan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu bagaimanapun menyifatkan kandungan MoU tersebut sebagai pelik.