'Saya akan turun mengejut pantau kaunter' - KP JPJ

Iklan
Aedy Fadly (tengah) ketika sidang akhbar selepas sesi lawatan rasmi di Pejabat JPJ Padang Jawa di sini pada Khamis.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] "Saya sendiri akan lakukan lawatan mengejut di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam masa terdekat ini".

Demikian tegas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkaitan isu kaunter hadapan di pejabat jabatan itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, arahan turut diberikan kepada pengarah-pengarah di Ibu Pejabat untuk lakukan pemantauan bagi memastikan perkhidmatan kepada orang awam sentiasa ditambah baik.

"Saya mungkin akan turun pakai topi, berkaca mata dan memakai seluar jeans bagi melihat sendiri apa yang berlaku di semua JPJ negeri terutamanya melibatkan pengurusan di kaunter.

Iklan

"Mungkin juga pengarah-pengarah di peringkat ibu pejabat turut diturunkan, kalau saya kerap turun, mungkin ada yang kenal," katanya ketika menyampaikan amanat kepada anggota dan pegawai ketika sesi lawatan rasmi di Pejabat JPJ Padang Jawa di sini pada Khamis.

Katanya, tindakan tegas turut diambil terhadap mana-mana pengarah serta ketua cawangan JPJ yang didapati membiarkan kaunter hadapan beroperasi secara tidak berkesan.

Iklan

"Saya ingatkan kepada pengarah negeri serta ketua cawangan, kaunter ada tapi dibiarkan tidak terbuka selain didapati pengurusan lemah, maka tindakan akan diambil.

"Apa yang penting adalah kita mahukan penyampaian perkhidmatan kepada orang awam dilaksanakan secara kondusif dan kaunter ada fokus yang penting," katanya.

Sementara itu, Aedy Fadly turut memuji usaha dilaksanakan JPJ Selangor yang mengambil tindakan drastik dalam memperkemaskan sistem perkhidmatan di kaunter.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan perkhidmatan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini bertambah baik kerana lebih sistematik dan waktu menunggu berkurang dari sebelum ini.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar JPJ Selangor sekitar jam 9 pagi pada Isnin mendapati, rata-rata pengguna berpuas hati dengan penambahbaikan yang dilaksanakan pihak berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan, JPJ akan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan kualiti penyampaian perkhidmatan di kaunter bermula Isnin.

Langkah itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan pelanggan dan masa menunggu yang lama.

Aedy Fadly berkata, antara penambahbaikan yang dilaksanakan adalah penyediaan pegawai pemudah cara atau JPJ Assist bagi membantu pelanggan melakukan urus niaga yang boleh dibuat secara dalam talian.

Selain itu, JPJ turut menggalakkan pelanggan untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ serta portal MySIKAP.

Pada masa sama, penambahbaikan Sistem JPJeQ juga dilaksanakan untuk membolehkan pelanggan mendapatkan nombor giliran melalui imbasan Kod QR dan menunggu di mana-mana sahaja sehingga nombor mereka dipanggil.