JAIS teliti 19 video GISB dakwaan terlibat ajaran sesat

Iklan
Mohd Shahzihan

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah meneliti 19 video dimuat naik di media sosial berhubung kemungkinan terdapat ajaran menyimpang daripada Islam dilakukan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB).

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penelitian telah dibuat bagi mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada dan bagi mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak lain bagi melengkapkan siasatan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, JAIS peka dengan apa juga fakta-fakta membawa kepada penyimpangan daripada ajaran Islam sebenar yang berlaku di negeri ini.

"JAIS sentiasa memantau rapat GISB berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mohd Shahzihan memberitahu, Istitabah yang diuruskan oleh JAIS pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa tentang kepercayaan dan amalan melibatkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa.

Beliau memberitahu, pihaknya juga telah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar barang rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli GISB dalam serbuan pada 11 September lalu diserahkan kepada JAIS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Iklan

Katanya, serbuan PDRM itu membabitkan Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah yang berdaftar dengan JAIS pada Januari 2015 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember 2025.

Ujar beliau, sekolah itu terdiri daripada 12 guru dan kakitangan serta 104 pelajar lelaki dan perempuan yang menggunakan silibus JAIS.

"Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah itu pada 13 Januari, 23 Mac tahun lalu dan 26 Julai lalu, tidak wujud sebarang penyelewengan dikesan," kata beliau.

Mohd Shahzihan menjelaskan, sebuah lagi sekolah iaitu Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly telah didaftarkan pada 12 November 2014 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember tahun ini.

Tambah beliau, maahad itu terdiri daripada tiga kakitangan dan 54 pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri.

"Sebanyak lapan sekolah disyaki di bawah GISB berdaftar dengan JAIS dan dua daripadanya telah menutup operasi secara sukarela, manakala dua lagi telah tamat pendaftaran serta sebuah sekolah ditarik pendaftaran, manakala baki masih lagi beroperasi sehingga tahun 2028," jelas beliau.

Sehubungan itu, tegasnya, JAIS akan mengambil tindakan berikutan penemuan PDRM melibatkan sekolah terbabit mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

Sabtu lalu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengarahkan Jakim untuk mengadakan pertemuan dengan pihak GISB, bagi mendapatkan maklum balas serta penjelasan berhubung dakwaan penglibatan syarikat itu dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa.

Terdahulu, media melaporkan PDRM masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan GISB terpalit dengan isu berkaitan agama dan eksploitasi kanak-kanak.