HANOI - Tanah runtuh dan banjir besar yang dicetuskan oleh Taufan Yagi telah meragut sekurang-kurangnya 197 nyawa di Vietnam, manakala lebih 100 lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa pada Khamis.
Taufan Yagi - taufan paling kuat melanda utara Vietnam dalam tempoh kira-kira 30 tahun - melanda wilayah itu pada Sabtu, membawa angin kencang dan hujan lebat.
Pada Khamis, Menteri Luar Australia Penny Wong menjanjikan A$3 juta (AS$1.9 juta) kepada Vietnam untuk bantuan kemanusiaan, bekalan kecemasan dan perkhidmatan penting lain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Sokongan kami akan memberi tumpuan kepada tindak balas pantas dan pemulihan awal untuk golongan rentan, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya, serta komuniti di kawasan luar bandar dan terpencil,” kata Wong.
Menurut menteri itu, Australia juga telah menghantar sebuah pesawat yang penuh dengan bekalan kecemasan untuk keluarga, seperti tempat perlindungan dan kit kebersihan.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Vietnam menyatakan bahawa ribut tropika berkenaan telah merosakkan ribuan rumah, kebanyakannya tenggelam sepenuhnya. Ratusan ribu pokok tumbang di beberapa wilayah manakala kira-kira 1.5 juta haiwan ternakan, terutamanya ayam dan lembu, turut mati.
Hampir 200,000 hektar tanaman padi telah rosak teruk dan lebih banyak hujan lebat diramalkan bagi beberapa kawasan.
Ribut itu kini menimbulkan kebimbangan di Thailand, dengan amaran hujan lebat dan banjir kilat. Jumlah kematian meningkat kepada enam orang, lapor akhbar Bangkok Post, memetik pihak berkuasa tempatan.
Yagi yang sebelum ini telah melanda Filipina dan China juga menyebabkan kematian dan kemusnahan. - Bernama