PPIM gesa lindungi kanak-kanak mangsa jenayah seksual

Iklan
Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua pihak untuk melindungi mangsa kanak-kanak khususnya yang dikaitkan dengan jenayah seksual.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ia kerana pihaknya melihat ramai pengguna di media sosial yang memuat naik dan berkongsi semula gambar dan video kanak-kanak yang dikatakan mangsa eksploitasi beberapa pihak.

Iklan
Iklan

"PPIM bimbang tindakan ini akan memberi ruang dan peluang kepada pihak yang melakukan jenayah untuk melarikan diri dari pendakwaan undang-undang.

"Kita faham rakyat amat terkesan dengan pendedahan terkini namun kita harus percaya pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengembeleng tenaga untuk menyelamatkan mangsa serta menyiasat perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Rabu mendedahkan PDRM berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan 'Op Global'.

Siasatan polis mendapati modus operandi yang dilakukan rumah amal dipercayai milik sebuah kumpulan perniagaan bermotif agama adalah kanak-kanak diajar dan dididik cara meliwat, seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga serta dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Iklan

Nadzim menegaskan, pihak berkuasa mengajak orang ramai melindungi kanak-kanak dengan mengaburkan wajah mangsa yang terlibat.

Katanya, pengguna media sosial sudah sedia maklum mengenai kuasa pengguna yang ada pada mereka kerana setelah mereka menularkan isu-isu yang penting, pihak berkuasa akan bertindak serta-merta.

"Semangat ini kita puji namun kena juga ada batasan dan tidak sehingga memfitnah, bagus untuk mengetengahkan masalah dan mendapat perhatian pihak berkuasa namun berhati-hati juga dengan gejala fitnah.

"Sebaiknya semua pihak diajak menyiasat dan membuat penilaian terdahulu sebelum menyebarkan maklumat agar tidak terpalit dengan tindakan saman dan sebaliknya," katanya.

Dalam pada itu, Nadzim memaklumkan, PPIM memuji tindakan pantas pihak berkuasa dalam menangani isu tular berkenaan dan berharap siasatan yang terperinci dapat dilaksanakan.

"Semoga undang-undang dapat ditegakkan dan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya, tuduhan yang dilemparkan amat serius terutama dakwaan ada jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya.