Rogol anak hingga bersalin, buruh dipenjara 72 tahun, 60 sebatan

Iklan
Gambar hiasan

KOTA BHARU - Seorang buruh hari ini dihukum penjara 72 tahun dan 60 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah merogol anak kandungnya sehingga melahirkan anak, tahun lepas.

Lelaki berumur 46 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas enam pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Iklan
Iklan

Dia didakwa merogol anak kandungnya berusia 15 tahun ketika kejadian dan perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Manek Urai, Kuala Krai, kira-kira 1 hingga 10 pagi antara Januari hingga Oktober 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime memohon hukuman setimpal dikenakan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan mangsa ialah anak kandungnya.

Iklan

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan memandangkan anak-anaknya masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang bapa.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan berasingan serta memerintahkan dia menjalani rehabilitasi dan kaunseling ketika berada di penjara selain pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman. - Bernama