PRN Sarawak: DAP bakal berdepan cabaran sukar

Iklan
Lim Guan Eng

SHAH ALAM - DAP dijangka berdepan cabaran sukar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan berlangsung pada Jun 2021.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung DAP sendiri iaitu Lim Guan Eng yang memberitahu bahawa ia berikutan sentimen keserantauan di Sarawak, lapor Borneo Post.

Iklan
Iklan

"Adalah penting bagi kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan di negeri berkenaan. Kita perlu membuat rakyat Sarawak merasakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil berat terhadap mereka.

"Mereka adalah sebahagian daripada pembangunan arus perdana negara termasuk membawa pembangunan yang sepatutnya mereka peroleh di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif baru-baru ini bersama Oriental Daily yang juga akhbar harian berbahasa Cina terbitan syarikat yang sama menaungi Borneo Post.

Iklan

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah kegagalan PH menunaikan janji untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan memberi kesan kepada DAP pada pemilihan PRN Sarawak, Guan Eng berkata, semua janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan dipenuhi pada waktunya.

"Pemimpin DAP tidak pernah membuat janji yang mereka tidak dapat penuhi. Apa yang dihadapi PH ketika ini adalah isu kewangan negara dan hutang besar yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu.

Iklan

"Berkaitan janji pilihan raya, kita akan penuhi cuma ia memerlukan masa," katanya.

Memetik laporan itu lagi, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, para pemimpin DAP amat konsisten untuk menunaikan janji mereka.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, tidak ada gunanya jika kerajaan terus melaung-laungkan untuk memberi perubahan sedangkan rakyat tidak dapat merasai atau menikmatinya.

"Oleh itu adalah lebih penting untuk memulakan tindakan dan melaksanakan dasar yang baik untuk rakyat, malah kerajaan PH melakukan lebih baik berbanding kerajaan sebelum ini dalam semua aspek," katanya.