Bukan mabuk, pemandu hidap diabetes hilang kawalan langgar kuil

Iklan
Pemandu berusia 41 tahun yang terlibat dalam kejadian itu mengalami gejala hipoglisemia semasa kejadian hingga mengakibatkannya tidak sedarkan diri secara tiba-tiba.

IPOH - Polis menafikan pemandu kereta yang terbabas hingga melanggar sebuah kuil di Tanjung Rambutan pada Khamis memandu dalam keadaan mabuk sepertimana dakwaan tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan mendapati, pemandu berusia 41 tahun itu sebenarnya mengalami gejala hipoglisemia semasa kejadian hingga mengakibatkannya tidak sedarkan diri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan laporan perubatan diberikan, mengesahkan lelaki itu yang merupakan penjawat awam mempunyai rekod sebagai pesakit kencing manis.

"Semasa kejadian, pemandu terbabit dalam perjalanan dari arah Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan menghala ke Changkat Kinding dan sebaik melepasi lampu isyarat, secara tiba-tiba tidak sedarkan diri.

Iklan

"Keadaan itu mengakibatkan kereta dipandu hilang kawalan dan terbabas memasuki kuil sebelum melanggar tiang kuil," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, polis menerima laporan kemalangan terbabit pada jam 8.36 pagi dan mengesahkan bahawa tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan hingga menyebabkan kemalangan," katanya.

Sementara itu, Azizi berkata, aduan kemalangan yang tular di media sosial berkaitan 'Melayu mabuk, masuk kuil Hindu langgar lepas tu tidur...' itu dikesan telah menarik perhatian masyarakat umum.

Justeru pihaknya menasihati orang ramai agar tidak sewenangnya meninggalkan sebarang komen berbaur provokasi atau sentimen sensitif di media sosial tanpa mendapatkan rujukan dan fakta yang sahih.

"Dibimbangi perkara sedemikian boleh menimbulkan kerisauan masyarakat," katanya.