Cadang Rossi turun padang jumpa penyokong Liga-M

Iklan
Laporan Sukan Sinar baru-baru ini.

KEPIMPINAN baharu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi diharapkan dapat turun padang bertemu dengan penyokong-penyokong kelab Liga Malaysia (Liga-M) untuk memberi penerangan berkenaan beberapa isu yang membelenggu saingan liga negara.

Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid, perkara itu perlu dilakukan segera jika pentadbir liga tersebut mahu memulihkan semula kredibiliti yang kini dilihat semakin merosot.

Iklan
Iklan

"Beberapa isu semasa masih lagi membelenggu saingan liga kita, isu tunggakan gaji khasnya yang tiada kesudahan walaupun disifatkan segelintir pihak sebagai kes terpencil.

"Besar harapan saya untuk melihat Rossi untuk mencari jalan penyelesaian menyeluruh dalam isu yang tidak hanya menjejaskan moral pemain dan pegawai pasukan tetapi juga imej Malaysia di mata FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

Iklan

"Seperkara lagi saya percaya pengalaman Rossi di luar negara sebelum ini dapat came up dengan idea yang dapat menyelesaikan masalah khasnya isu kewangan dihadapi kelab seperti Kedah Darul Aman FC, Kuala Lumpur City FC dan beberapa kelab lain,” katanya yang mencadangkan sesi dialog sebulan sekali kepimpinan MFL dengan penyokong-penyokong Liga-M kepada Sukan Sinar pada Khamis.

MFL sebelum ini mengumumkan bekas Delegasi LaLiga di Malaysia itu sebagai ketua pegawai eksekutif baharu organisasi itu menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontrak pada 31 Ogos.

Iklan

Pelantikan Rossi yang juga individu luar negara pertama mengalas tanggungjawab sebagai ketua pegawai eksekutif dilakukan berdasarkan pengalamannya dalam industri bola sepak sejak 2013, termasuk tugas di Serie A, Valencia CF dan LaLiga.

Malah MFL percaya pengalaman Rossi dalam bola sepak Malaysia dan rantau ini dapat membantu menguruskan dan meningkatkan aspek pertandingan dan komersial Liga-M.

Senada dengan ASFC, kelab Peminat Bolasepak Kedah (PBK), yang percaya sesi dialog bersama penyokong-penyokong penting bagi membolehkan pemain-pemain ke-12 memberikan pandangan untuk kemajuan dan kesinambungan saingan liga negara ini.

Presidennya, Fazli Mansor percaya sekiranya pendekatan itu dilaksanakan secara tidak langsung membolehkan kepimpinan MFL akan mendapat lebih input daripada komuniti bola sepak akar umbi.

Pada masa sama jelas Fazli, penyokong-penyokong berpeluang mengemukakan buah fikiran masing-masing secara bersemuka berbanding memberikan komen menerusi media sosial.

"Saya percaya banyak perkara yang hendak dikongsikan komuniti bola sepak Liga-M kepada MFL, yang akhirnya ke arah menuju matlamat sama iaitu kelangsungan Liga-M.

"Selain isu tunggakan gaji yang masih lagi membelenggu beberapa pasukan besar liga, saya juga berharap jadual perlawanan liga lebih efisien dan konsisten selepas ini,” katanya.