GEORGE TOWN - Sesi sembang santai dianjurkan sebuah persatuan kebajikan, di sini, menjadi medan pertemuan pelbagai lapisan masyarakat setiap hujung minggu untuk berkongsi kisah hidup masing-masing.
Tanpa mengira status dan taraf kehidupan, mereka dapat duduk semeja, berkongsi pelbagai cerita dan pandangan mengenai cabaran kehidupan.
Malah, ada dalam kalangan mereka akan dibantu termasuk mendapatkan kerja untuk beroleh pendapatan.
Inisiatif dilakukan Persatuan Ikut Pulau Pinang (MyIKUT) sejak 15 tahun lalu berjaya menarik minat banyak pihak selain jumlah kehadiran juga bertambah setiap minggu.
Penaung MyIKUT, Zolkifly Md Lazim berkata, aktiviti dijalankan pihaknya antara lain berusaha memupuk semangat muhibah dalam kalangan masyarakat dan pada masa sama menjadi kerja dakwah menyebarkan syiar Islam.
Menurutnya, aktiviti mingguan menumpukan sekitar Komtar dengan menghimpunkan individu daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira usia dan kaum.
"Yang datang ada ahli perniagaan, pekerja biasa, remaja, warga emas termasuk ada juga dalam kalangan gelandangan selalu bersama kami setiap kali aktiviti dan pertemuan diadakan pada hujung minggu.
"Malah, melalui sesi perkongsian mengenai keindahan Islam dan panduan kehidupan berteraskan Rukun Islam serta Rukun Iman antara topik yang membuatkan mereka berminat mendalami Islam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru- baru ini.
Zolkifly berkata, mereka yang bertekad memilih jalan hidup baharu akan dibimbing bermula daripada melafazkan syahadah sehingga kepada mendalami ilmu agama melalui kelas mingguan.
Jelasnya, golongan itu akan terus dibimbing dan diberi pendedahan mengenai Islam terutama berkaitan ilmu fardu ain dengan menghadiri kuliah dalam bahasa hokkien dan tamil setiap minggu di beberapa lokasi yang sudah ditetapkan.
"Tidak dinafikan antara cabaran dihadapi adalah memastikan mereka mendapat kefahaman dan pengetahuan mengenai Islam selain mempraktik amalan hidup termasuk menunaikan solat setiap hari.
"Namun dengan bimbingan sukarelawan kita yang berpengalaman, sokongan badan bukan kerajaan (NGO) lain serta pihak berkaitan dapat membantu sahabat baharu kita ini mendalami Islam sepenuhnya,” katanya.