Isu GISB: Amalkan sifar toleransi keganasan kanak-kanak

Iklan

SHAH ALAM - Sudah tiba masa untuk Malaysia mengamalkan pendekatan sifar toleransi terhadap keganasan kanak-kanak dalam segala bentuk.

Wakil Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Robert Gass berkata, setiap kanak-kanak berhak untuk membesar dalam persekitaran keluarga yang harmoni dan saling membantu antara satu sama lain.

Iklan
Iklan

"UNICEF bersedia untuk menyokong kerajaan dalam usaha melindungi kanak-kanak yang diabaikan penjagaan ibu bapa dan mencegah perpisahan keluarga-anak yang tidak perlu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal didakwa milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Iklan

Ujar Gass, kanak-kanak dalam penjagaan institusi memerlukan sokongan pekerja sosial yang berkelayakan supaya dapat memantau rumah kebajikan dengan berkesan.

Menurutnya, selagi kanak-kanak di negara ini tinggal dalam persekitaran penjagaan institusi tidak terkawal, mereka akan kekal terdedah kepada risiko keganasan dan penderaan.

Iklan

"Kanak-kanak ini telah mengalami kengerian yang tidak dapat dibayangkan dan memerlukan sokongan perubatan dan psikososial profesional jangka panjang.

"Kerosakan yang disebabkan kes itu adalah serius dan selalunya mengakibatkan kesan seumur hidup,” ujarnya.

Ulas Gass, pihaknya turut memuji tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain susulan kejayaan menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

"Kami berharap tindakan ini menandakan berakhirnya trauma mereka dan permulaan proses penyembuhan mereka," menurut beliau.