Nyanyi lagu patriotik dalam majlis kahwin raih perhatian warga maya

Iklan
Tangkap layar video dimuat naik di TikTok menunjukkan kanak-kanak lelaki menyanyikan sebuah lagu patriotik semasa acara perkahwinan. Paruvintharaj

SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak berbangsa India mendendangkan sebuah lagu patriotik dengan penuh semangat semasa acara perkahwinan kaum berkenaan baru-baru ini.

Pengacara majlis, Paruvintharaj Shanmugam berkata, dia mengendalikan permainan yang berkaitan dengan keluarga pengantin sepanjang majlis perkahwinan tersebut berlangsung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ramai kanak-kanak yang teruja dan berminat untuk menyertai permainan dengan menyanyikan sebuah lagu Tamil.

"Saya minta mereka nyanyikan lagu popular. Kanak-kanak lain memang ikut arahan permainan.

Iklan

"Namun, uniknya seorang budak lelaki ini, dia menyanyikan lagu patriotik dengan penuh semangat di hadapan semua tetamu.

"Saya tidak sangka pula dia akan nyanyi lagu patriotik berbanding lagu berbahasa Tamil,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Peristiwa tersebut dikongsikan pengacara majlis yang juga juruhebah radio menerusi aplikasi TikTok dan meraih perhatian warga maya sehingga lebih 300,000 tontonan.

Paruvintharaj memaklumkan, dia mengagumi semangat patriotisme kanak-kanak lelaki itu yang berusia antara 11 atau 12 tahun walaupun tidak mengenalinya.

Dia juga percaya bahawa kanak-kanak berkenaan mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemimpin hebat dan berdedikasi pada masa hadapan.

"Semasa dia menyanyikan lagu itu, saya boleh nampak kesungguhan dan keyakinan dia.

"Saya percaya dia ada potensi yang lebih besar dan baik pada masa akan datang,” ujarnya.

Ditanya mengenai reaksi tetamu semasa mendengar kanak-kanak itu menyanyikan lagu patriotik, Paruvintharaj berkata, kebanyakan orang ramai mula kagum dan teruja dengan persembahan secara spontan tersebut.

"Pengantin lelaki dan perempuan ikut menyanyi sekali, malah semua hadirin berhibur serta bersorak menyokongnya supaya tidak gementar,” katanya lagi.