SERDANG - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memperkenalkan empat produk perapan terbaharu keluaran Peladang sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang berlangsung bermula 11 hingga 22 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Pengurus Bahagian Pemasaran dan Promosinya, Syahrul Musa berkata, empat produk perapan itu terdiri daripada kambing perap, daging perap batang pinang, ayam perap dan daging harimau menangis.
Menurutnya, kesemua produk baharu itu dijual dengan harga lebih rendah berbanding di pasaran biasa iaitu RM38 untuk satu peket manakala jualan kombo RM100 untuk tiga jenis bagi mana-mana produk perapan tersebut.
"Bersempena dengan penganjuran 100 tahun MAHA kali ini, kita perkenalkan empat produk baharu untuk ditawarkan kepada pengunjung sepanjang 12 hari pameran MAHA kali ini.
"MAHA kali ini menjadi landasan untuk kita perkenalkan produk perapan ini sebelum ia memasuki pasaran di 26 peruncit atau outlet Petronas di sekitar Lembah Klang yang dijangka bermula Oktober ini,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Kingdom of Agrofood di sini.
Tambah Syahrul, pihaknya menyasarkan sebanyak 2,000 peket produk perapan terjual dalam promosi pengenalan di acara dwitahunan berkenaan.
Sementara itu, NAFAS juga katanya turut menjual beberapa produk sedia di pasaran iaitu ayam potong dan ayam bulat dengan potongan harga istimewa.
Katanya, harga jualan bagi kedua-dua produk sejuk beku itu dijual pada harga RM8 iaitu penjimatan sebanyak RM2 berbanding di pasaran biasa.
Selain itu Syahrul turut memberitahu, jualan harga lebih rendah juga ditawarkan kepada pengunjung menerusi slot waktu riang atau happy hour yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada pengunjung nanti.
"Bagi slot happy hour ini tidak meletakkan masa atau waktu tertentu, sebaliknya pengumuman akan dibuat dari semasa ke semasa dan jumlah barangan pula bergantung kepada bekalan yang ada untuk sesi happy hour tersebut.
"Pengunjung yang membeli ketika happy hour ini akan mendapat potong harga RM2 iaitu RM6 bagi produk ayam bulat dan potong, manakala untuk produk perapan pula RM35,” katanya.
Katanya, orang ramai diharap tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan produk keluaran NAFAS ini.
"Penganjuran MAHA ini menjadi peluang terbaik untuk produk tempatan termasuk NAFAS memperkenalkan produk masing-masing.
"Di pihak NAFAS, kita ambil peluang ini untuk perkenalkan lagi kepada masyarakat bahawa kita sememangnya ada pelbagai produk yang ditawarkan kepada orang ramai,” katanya.