Bidoglio akui sukar pilih kesebelasan terbaik

Iklan
Debut Obregon ketika menghasilkan dua gol.Foto FB Johor Southern Tigers

PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui bakal berdepan kesukaran untuk memilih kesebelasan terbaik selepas ini apabila menyaksikan aksi mantap pemain-pemain baharu skuad Harimau Selatan itu, ketika menewaskan Penang FC, 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis.

Menurut Bidoglio, kesemua pemain berkenaan termasuk Enzo Lombardo, Iker Undabarrena, Eddy Israfilov dan Jorge Obregon selain penjaga gol, Christian Amat dan pemain pertahanan Park Jun-Heong yang tidak beraksi berdepan Penang FC, mula membentuk keserasian dengan rakan-rakan sepasukan selain mula memahami falsafah pasukan.

Iklan
Iklan

"Saya cukup berpuas hati dengan aksi pemain-pemain baharu, kehadiran mereka adalah untuk membantu kami.

"Kehadiran mereka ternyata telah membantu memperkuatkan pasukan ini terutamanya bagi mengharungi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), tidak lama lagi.

Iklan

"Hari ini (Khamis), mereka telah membuktikan kewibawaan selain turut memahami falsafah pasukan ini,” katanya.

Pada aksi berdepan Penang FC itu, penyerang import dari Colombia, Jorge Obregon meledak dua gol pada minit ke-41 dan 49 manakala tiga lagi gol dihasilkan menerusi jaringan Oscar Arribas (min-3) selain pemain gantian, Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi masing-masing menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-66 dan pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemenangan.

Iklan

Kemenangan itu menyaksikan JDT terus gah di puncak Liga Super dengan 25 mata hasil lapan kemenangan dan seri setelah mengharungi sembilan perlawanan setakat ini.

Sementara itu, Bidoglio mengakui skuad kendaliannya itu sebenarnya berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan pelawat pada aksi berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kesebelasan pemain akhirnya berjaya mencari jalan bagi menembusi benteng pertahanan lawan dan seterusnya menjaringkan gol bagi merealisasikan kemenangan.

"Bagi saya, Penang FC sebuah pasukan yang baik dan kami berdepan kesukaran untuk menewaskan mereka.

"Tetapi, pemain-pemain bekerja keras dan akhirnya berjaya menemui jalan untuk menembusi kekebalan benteng pertahanan lawan bagi menjaringkan gol,” katanya.


Akmal Rizal tak pertikai penalti

BIARPUN berdepan tiga sepakan penalti pada aksi Liga Super berdepan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis, namun pengendali Penang PC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui tidak boleh mempertikaikan keputusan berkenaan.

Kesebelasan Penang FC - Foto FB Johor Southern Tigers

Malah menurutnya, pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali telah membuat keputusan yang tepat berhubung sepakan penalti tersebut.

"Saya rasa tak boleh pertikai; sebab Razlan (Joffri) adalah pengadil terbaik yang ada di Malaysia ketika ini.

"Jadi saya rasa beliau buat keputusan yang tepat. Apa pun, saya berpuas hati dengan pemain-pemain saya.

"Seperti apa yang saya katakan tadi, pemain kita telah bermain dengan baik, tapi kita kalah dengan antara pasukan terbaik di Asia... kita tewas kepada pasukan yang lebih kuat,” katanya.

Untuk rekod, dua daripada tiga sepakan penalti berkenaan berjaya disempurnakan oleh penyerang JDT, Bergson da Silva pada minit ke-66 dan Arif Aiman Hanapi pada masa kecederaan babak kedua.

Satu lagi sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama gagal disempurnakan Arif Aiman apabila sepakannya tinggi melewati palang gol.

Sementara itu, Akmal Rizal berkata, kesemua pemain telah mempamerkan disiplin yang baik di sepanjang perlawanan bagi mengekang asakan-asakan daripada tuan rumah.

Katanya, usaha berkenaan berjaya malah skuad Harimau Kumbang itu turut memiliki peluang menjaringkan gol menerusi penyerang, Rodrigo Diaz.

"Seperti saya katakan tadi, pemain-pemain telah bermain dengan baik, tetapi inilah bola sepak, bila terlepas peluang, kita sukar untuk score (jaringkan gol),” katanya.